Di Instagram, pelakon Jasmin Hamid memberitahu dia selamat menjalani pembedahan bariatrik di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Masalah pada bahagian ulu hati
Menurut Jasmin, doktor memberi nasihat kepadanya untuk melakukan prosedur berkenaan selepas mendapati bahagian ulu hati mempunyai masalah.
Sebelum ini saya selalu rasa senak pada bahagian perut. Saya ingatkan ia hanya masalah angin akibat lambat makan. Dah beberapa bulan juga masalah ini berlarutan.
Kemudian saya buat pemeriksaan pada 20 Februari lalu dan doktor beritahu ada lubang besar pada ulu hati. Atas nasihat doktor juga saya kena lakukan pembedahan segera.
Bercerita lebih lanjut, Jasmin berkata, pada awalnya dia berasa ragu-ragu terhadap kaedah perubatan itu, namun mendapat keyakinan apabila menerima nasihat dan penerangan lanjut daripada doktor.
Selama ini ramai yang cakap kalau buat pembedahan bariatrik kita akan hilang nikmat makan sebab banyak makanan yang tidak boleh ambil. Salah semua itu… doktor cakap tiada masalah pun.
Cuma dalam tempoh pemulihan sebulan ini kena jaga pemakanan sebelum. Lain orang lain badannya. Boleh nak makan apa sahaja selepas ini.
Di samping itu, pelakon drama ‘Tikam’ ini memberitahu, dia perlu menjalani proses berpantang daripada makan makanan pejal selama sebulan selepas menjalani pembedahan tersebut.
Dalam sebulan pertama ini, saya tak boleh makan makanan pejal lagi. Jadi, kena berpantang. Sejak selesai pembedahan, saya hanya boleh minum air biasa, air kelapa dan susu protein sahaja untuk tenaga. Dalam sehari, sekurang-kurangnya saya kena minum antara 2.6 hingga 3 liter air supaya tidak terdehidrasi.
Masuk minggu kedua, barulah saya boleh perlahan-lahan mula makan makanan pejal yang lembut seperti taufu dan sebagainya.
Tambah Jasmin, ini adalah pengorbanan yang perlu ditempuhinya demi menjaga kesihatan tubuh badan untuk jangka masa yang lama.
Saya perlu mengehad dan menjaga pemakanan saya sebab nak sihat. Daripada satu hari nanti saya sakit dan tak dapat makan apa-apa langsung, baik saya mula jaga dari sekarang.
Menurut doktor, berat saya akan turun antara 15 hingga 20 kilogram selepas ini dengan syarat, saya kena jaga pemakanan.
Kalau tak jaga, kemungkinan untuk berat saya naik dua kali ganda adalah tinggi. Jadi, tak bermakna kalau kita menjalani pembedahan bariatrik, kita akan kekal kurus.
Selain itu, doktor juga menyarankan agar saya melakukan aktiviti berjalan kaki untuk jantung sebab saya tak boleh melakukan senaman berat.