Jika bercakap soal lakonan, ramai yang tahu bahawa Shah Rukh Khan (SRK) akan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Superstar Bollywood ini akan lakukan segala-galanya untuk pastikan adegan atau persembahannya berjaya.
Salah satu contohnya adalah filem ‘Devdas’, yang diarahkan oleh Sanjay Leela Bhansali. Filem ini turut dibintangi oleh Madhuri Dixit dan Aishwarya Rai yang memegang watak utama.
Manakala pengarah Vikramaditya Motwane, yang membantu Sanjay semasa filem itu ada mendedahkan satu fakta menarik mengenai SRK ketika penggambaran.
Dalam temu bual, Vikramaditya mendedahkan bagaimana SRK melumurkan madu ke seluruh wajahnya semasa penggambaran filem tersebut untuk adegan kematian.
“Saya akan beritahu anda satu kejadian mengenai SRK. Kami sedang menjalani penggambaran kemuncak ‘Devdas’, di mana watak SRK mati dan Aishwarya berlari ke arahnya. SRK sedang baring di bawah pokok. Tiba-tiba dia bertanya kepada salah seorang pembantu jika kita boleh dapatkan sedikit madu dan kami terus bawa kepadanya.”
Pengarah Vikramaditya memberitahu, SRK melakukan ini untuk menarik lalat mengkerumuni wajahnya untuk menjayakan adegan kematian tersebut. Pengarah itu juga mendedahkan ia sepenuhnya idea SRK.
“Fikiran dia sentiasa bekerja untuk memikirkan bagaimana dia boleh menjadikan masa itu lebih baik. Dan itulah SRK. Dia melakukan perkara yang sangat kecil dalam filem yang membuat perbezaan besar. Dia juga membuatkan semua orang berasa sangat istimewa!”