Pernah tak kamu tertanya-tanya, bagaimanakah perangai sebenar Salman Khan ketika bekerja?
Baru-baru ini pengarah Kabir Khan ada membuka cerita mengenai pengalamannya bekerja dengan pelakon Salman Khan. Akuinya sepanjang mereka bekerjasama, Salman tidak pernah bersikap kurang ajar terhadapnya.
Mendedahkan mereka mempunyai hubungan yang baik, Kabir memberitahu ada ketikanya Salman tanpa malu dan bersikap terbuka akan berkongsi beberapa idea mengenai lakonan dengannya.
Pada masa yang sama dia mengatakan ada beberapa perangai ‘buruk’ Salman yang tidak dapat dielakkan.
“Ada masanya kami bertengkar dan tak setuju dalam banyak hal hingga akhirnya Salman akan merajuk serta mengamuk. Perkara itu selalu terjadi. Tetapi setelah berbincang, saya dapat menyakinkan dia dan sebaliknya. Dia biasanya akan merajuk, merungut, mengamuk dan membantah, tetapi dia tidak pernah bersikap kurang ajar.”
Sekadar info, Kabir Khan dan Salman Khan telah bekerjasama dalam tiga filem iaitu ‘Ek Tha Tiger’, ‘Bajrangi Bhaijaan’ dan ‘Tubelight’.