Penerbit dan pengarah filem Shuhaimi Lua meluahkan rasa lega apabila tegurannya terhadap segelintir pelakon filem Pontianak 200KG, baru-baru ini, menunjukkan perubahan yang positif.
Teruskan buat review dan promosi
Ketika ditemu bual sebentar tadi, Shuhaimi berkata, pelakon yang dimaksudkan olehnya sebelum ini sudah mula bertindak mempromosikan filem di media sosial.
Alhamdulillah sangat-sangat. Artis dah mula buat promosi dan posting di media sosial mereka.
Disoal mengenai sambutan filem tersebut setakat hari ini, Shuhaimi secara ringkas menjawab sudah mendapat sambutan.
Dah ada peningkatan. Saya harap artis dan orang ramai yang pergi menonton terus buat sedikit review dalam media sosial masing-masing.
Kepada artis yang terlibat baik artis utama, pembantu sampai ke talent semua yang terlibat terus promosi untuk menarik orang ramai untuk menonton sebuah cerita komedi seram ini.
Berbicara mengenai jumlah kutipan pula, Shuhaimi memberitahu mereka berjaya mengutip RM500,000 setakat ini.
Semalam, kami telah mencapai RM500 ribu. Alhamdulillah bersyukur. Saya jangka jumlah ini akan meningkat sepanjang cuti sekolah nanti. Sasaran saya RM1 juta pula.
Diusik mengenai siapakah artis yang enggan mempromosikan filem berkenaan, Shuhaimi enggan mengulas lanjut.