Pengasas jenama Mustika Ratu dan Yayasan Puteri Indonesia (YPI), Mooryati Soedibyo dilaporkan meninggal dunia pada awal pagi, Rabu.
Salam takziah
Memetik laporan Kompas, Mooryati menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada usia 96 tahun. Berita kematian itu telah disahkan oleh anaknya, Putri Kuswisnuwardhani yang juga merupakan ahli Majlis Penasihat Presiden (Wantimpres).
Difahamkan, jenazah Mooryati akan dibawa ke rumah di Menteng, Jakarta Pusat sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Tapos, Bogor di Indonesia.
Selain aktif dalam sektor perniagaan dan pakar kecantikan, Mooryati juga pernah menjadi anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia antara 2004 hingga 2009.
Mooryati juga digelar Sarjana Perubatan Herba Indonesia kerana kepakarannya dalam menghasilkan jamu, yang kemudiannya menjadi salah satu bidang perniagaan yang diceburinya.
Mooryati juga adalah pengasas acara kecantikan Miss Indonesia sejak 1992.