Sebelum ini, pernah tular di media sosial mengenai kisah seorang lelaki yang menjual soto ayam menggunakan daging isterinya sendiri.
Peniaga soto ayam curang
Menerusi kisah yang dikongsikan semula di platfrom X, lelaki yang dikenali sebagai Benget Situmorang merupakan seorang perantau yang berasal dari Samosir, Sumatera Utara di Indonesia. Benget kemudian bertemu dengan seorang wanita, Roini dan pada tahun 2000, pasangan itu mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Roini menyangka perkahwinannya akan bahagia namun siapa sangka, dia sebaliknya menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya. Malah pasangan itu seringkali bertengkar sehingga mereka pernah dihalau oleh penduduk setempat.
Tidak lama selepas itu, Benget mula menjalinkan hubungan dengan seorang wanita iaitu Darna Sri Astuti. Astuti bagaimanapun tidak tahu bahawa Benget sudah berkahwin dan lelaki itu tidak pernah mengaku sudah memiliki isteri.
Lepas cerai, kahwin dengan Astuti
Pada 2011, Benget telah menceraikan isterinya dan pada tahun yang sama, dia telah mengahwini Astuti. Setelah mendirikan rumah tangga buat kali kedua, Benget mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menjual soto ayam di belakang Terminal Kampung Rambutan. Perniagaannya itu mendapat sambutan yang sangat baik malah ramai pelanggan yang berkunjung ke kedainya.
Dalam pada yang sama, Benget berkenalan dengan seorang wanita, Tini dan mengajak wanita itu untuk bekerja di kedai sotonya. Meskipun mengetahui Tini sudah berkahwin dan memiliki anak, tetapi Benget berterusan cuba mendekatinya. Sehinggalah, Astuti melihat keakraban Benget dan Tini sewaktu di gerai.
Pada suatu hari, Benget dan Tini merancang untuk menamatkan riwayat Astuti kerana tidak mahu hubungan mereka dihalang.
Jalin hubungan sulit dengan Tini, sepakat bunuh Astuti
Pada 1 Mac 2013, Benget memaksa Astuti untuk minum minuman keras sehingga mabuk. Dia kemudian melakukan hubungan badan dengan Astuti. Tidak cukup dengan itu, dia memukul Astuti dan menyeretnya ke tandas sebelum disiram dengan air. Benget kemudian memukul Astuti dengan kayu balak dan memasukkan botol berisi air panas ke dalam kemaluan Astuti.
Benget berterusan mendera Astuti dengan alasan dia menuduh Astuti berlaku curang. Akibat kecederaan yang dialami, Astuti akhirnya meninggal dunia.
Ingin menyembunyikan kematian tersebut, Benget bertindak mengambil hati, perut, dan beberapa potong daging tubuh Astuti dan disimpan ke dalam peti sejuk kedainya. Dia juga membakar tilam yang mempunyai kesan darah Astuti.
Lebihan tubuh badan Astuti yang dipotong itu dimasukkan ke dalam 5 beg plastik. Pada 5 Mac 2013, Benget dan Tini menyewa van merah dan membuang beg-beg plastik yang berisi potongan tubuh dan kepala Astuti di beberapa lokasi sepanjang Lebuhraya Cikampek.
Selepas itu, Benget mengambil lebihan daging Astuti yang disimpan itu untuk dijadikan bahan dalam soto jualannya sebelum menghidangkannya secara percuma kepada rakan-rakannya.
Kantoi buat soto guna daging isteri
Perbuatan Benget dan Tini akhirnya terbongkar selepas ada saksi yang melaporkan tentang sebuah van merah yang mencurigakan, beberapa kali berhenti dan membuang plastik besar ke tepi lebuh raya. Setelah diperiksa, plastik itu ternyata berisi potongan kepala Astuti.
Susulan daripada siasatan yang dilakukan, Benget dan Tini ditahan pihak polis. Benget mengakui semua perbuatannya, termasuk menghidangkan daging manusia kepada rakan-rakannya.
Dia dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh, manakala Tini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana membantu dalam mutilasi dan pembuangan mayat.
Sebelum hukuman mati dilaksanakan, Benget meninggal dunia pada 3 November 2013 akibat penyakit Tibi yang dialaminya selama perbicaraan.