Lain dari yang lain, pasangan personaliti televisyen Siti Khadijah Jaafar dan Otto Othman memilih Zoo Negara sebagai lokasi untuk meraikan mereka sebagai raja sehari.
Lokasi unik
Pasangan personaliti televisyen yang juga penyampai berita terkemuka TV3 dan RTM itu juga selamat diijabkabulkan hari ini.
Dengan sekali lafaz, Khadijah sah menjadi milik Otto dan menerima sebanyak RM300 sebagai mas kahwin.
Paling menarik perhatian adalah lokasi majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di Zoo Negara, Kuala Lumpur.
Ketika ditemui Otto atau nama lengkapnya Otto Md. Tahir @ Othman berkata pemilihan Zoo Negara sebagai lokasi adalah idea yang unik dan lain dari yang lain.
Segalanya bermula dengan persoalan di mana kami ingin adakan perkahwinan ini. Kemudian Datuk Rosly @Rahmat Ahmat Lana (Timbalan Presiden Zoo Negara) mencadangkan untuk adakan majlis itu di sini. Jadi kami merasakan ia adalah satu buah fikiran yang sangat baik.
Dalam pada itu, pasangan tersebut juga percaya pilihan mereka tepat kerana ia adalah lokasi yang sesuai untuk merakamkan momen bersama keluarga.
Zoo Negara aturkan semuanya untuk kami dan kami hanya datang sebagai pengantin.
Di sini tetamu boleh nikmati momen perkahwinan bersama keluarga, rakan-rakan dan juga alam semula jadi.
Kami pun memang suka dengan haiwan, jadi ini adalah peluang yang terbaik untuk kami meraikan cinta kami.
Keluarga dan rakan-rakan kami juga boleh bawa anak-anak mereka bersama menikmati keindahan di sini.
Seusai selesai majlis resepsi, Khadijah dan Otto bersama rakan-rakan media dibawa ke pertunjukan haiwan dan mereka juga berpeluang memberi makan untuk Oyen (kucing), badak air serta kuda kerdil.
Selain itu, difahamkan mempelai turut diserikan dengan set barangan kemas bertahtakan berlian dan batu permata oleh Habib yang berjumlah RM2.89 juta.
Majlis resepsi yang bermula pada jam 12 tengah hari tadi turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid, keluarga, kenalan rapat dan rakan-rakan media.
Untuk info, majlis tersebut turut diadakan bagi mempromosikan pakej perkahwinan yang julung kali dianjurkan secara eksklusif di Zoo Negara.
Pakej perkahwinan ini turut dimeriahkan dengan penampilan khas pelbagai spesis haiwan. Para pengunjung juga dapat menyaksikan pasangan pengantin bermesra sambil memberi makanan kepada haiwan.