Seorang penyanyi wanita dilaporkan maut dipercayai selepas menjalani tiga sesi urutan leher di sebuah kedai urut di wilayah Udon Thani, Thailand.
Meninggal dunia lepas sesi tiga urutan
Mangsa yang dikenali sebagai Chayada Prao-hom berusia 20 tahun itu meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) di hospital Udon Thani akibat jangkitan darah dan pembengkakan otak.
Menurut teman lelaki mangsa, dia telah membawa kekasihnya ke kedai urut selepas wanita itu mengadu sakit belakang, pada 5 Oktober lalu. Namun selepas mendapatkan urutan sesi pertama, dia mengadu separuh badannya merasa kebas dan lengan kirinya tidak boleh digerakkan.
Keadaan bertambah parah selepas urutan sesi kedua, keseluruhan tubuh badannya tidak dapat digerakkan dan kepalanya mula sakit sehingga dia terpaksa mengambil ubat tahan sakit.
Pada sesi terakhir, mangsa mengadu tangannya lebam serta bengkak dan situasi itu berlarutan selama seminggu. Malah rasa kebas pada tubuh badannya itu juga telah merebak ke bahagian dada sehingga mengakibatkan badannya lemah sebelum disahkan meninggal dunia.
Teman lelaki mangsa berkata dia bakal mengambil tindakan undang-undang susulan kematian kekasihnya itu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan (HSS) Arkom Praditsuwan, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan menyemak sama ada pusat urut tersebut memiliki lesen dan mematuhi piawaian urut tradisional Thai.