Semalam, kita dikejutkan dengan berita pemergian seorang wanita yang dikenali sebagai Nur Farah Kartini yang dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Farah Kartini pelajar cemerlang
Terbaharu, laman Facebook milik Allahyarham Farah menjadi tular dan meraih perhatian wargamaya yang turut sama terkesan dengan kematiannya.
Menerusi hantaran yang dibuat, Allahyarham Farah begitu teruja berkongsi berita gembira mengenai kejayaannya yang berjaya menamatkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada November tahun lalu.
Graduan Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian.
Sementara itu, Allahyarham turut berkongsi pencapaian akademiknya yang memperoleh gred purata, ‘Cumulative Gred Point Average’ (CGPA) sebanyak 4.0.
Alhamdulillah, perjuangan empat tahun dah tamat. Banyak cabaran sepanjang tempoh pengajian ini tapi Alhamdulillah masih dikuatkan jiwa dan raga untuk bertahan.
Terima kasih juga untuk sahabat yang selalu ada di saat susah dan senang, ‘struggle’ nak siapkan assignment, report, lepas itu tidur berjemaah di ‘student lounge’ semata-mata nak siapkan kerja.
Kepada bonda tersayang, anak bonda dah besar.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh arwah Farah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Terdahulu, media melaporkan tentang kehilangan Farah yang dipercayai hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Polis menerima laporan berhubung kehilangan wanita yang berasal dari Sarawak itu pada 10 Julai lalu.
Kali terakhir Farah dilihat adalah ketika dia memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar ‘slack’ hitam.
Sehinggalah pada petang Isnin, Farah ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan polis telah menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan.