Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti pempengaruh atau influencer di media sosial serta individu yang gemar menayang wang tunai dan kemewahan bagi memastikan mereka tidak lari daripada membayar cukai.
Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai LHDN, Abang Ehsan Abang Abu Bakar memaklumkan pemantauan dilakukan setiap hari menerusi semua platform media sosial dan e-dagang.
Menurutnya, LHDN menerusi unit khas yang ditubuhkan iaitu Seksyen Audit Ekonomi Digital (SAED) berperanan khusus bagi memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.
Bercakap soal ini, baru-baru ini pelakon Rozita Che Wan menafikan dakwaan dirinya diisytiharkan bankrap disebabkan kegagalan membayar cukai pendapatan LHDN.
Rozita mesra disapa sebagai Che Ta memberitahu, dia tidak tahu mengenai notis bankrap kerana tidak pernah menerima sebarang makluman berhubung perkara tersebut.
“Siapa kata bankrap? Dapat notis daripada siapa dan saya tidak tahu.
“Saya bayar LHDN, saya juga ada ejen cukai yang uruskan dan audit syarikat.
Cukai dikenakan memang banyak, tapi saya bayar.
“Saya tidaklah terkejut, tapi saya dapat tahu dulu sebelum orang lain dan saya bukannya lari daripada LHDN,” katanya.
Bagaimanapun, Rozita tidak menafikan pernah mempunyai isu bersama LHDN, namun semuanya sudah diselesaikan.
Justeru, katanya, timbul perasaan pelik mengapa perkara itu dibangkitkan.
“Saya tak layan dakwaan semua ini, ia bukan masalah saya,” katanya.