Menyusuri perjalanan selama dua puluh lima tahun, terlalu banyak gelora dilalui artis serba boleh, Elly Mazlein, sehingga berada pada tahap hari ini.
Sukar dicatat satu persatu, Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berdepan zaman kegemilangan sebagai penyanyi dan pelakon, kemudiannya menghilangkan diri seketika dan kembali dengan semangat baharu.
Biarpun bukan laluan mudah dan ada masanya timbul tenggelam, Elly atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom akhirnya mampu ‘mewarnai’ karakter sebagai penghibur sehingga menawan semula hati peminat.
Mula mencuri hati bila menggalas tanggungjawab sebagai pengacara, wanita kelahiran Slim River, Perak itu akhirnya kian selesa mengendalikan pelbagai acara dan program hiburan.
Nyata, karakternya lebih menyerlah sebagai pengacara sehingga akhirnya mampu menggenggam trofi Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.
Mengenang perjuangannya selama dua puluh lima tahun, empangan air matanya pecah sebaik namanya diumumkan sebagai pemenang, mengalahkan nama-nama besar yang lain.
Siapa sangka malam kemuncak ABPBH 35 memahat memori cukup indah, apatah lagi, kali pertama menerima pengiktirafan sepanjang bergelar anak seni.
“Momen ini takkan saya lupakan sampai bila-bila. Ia kenangan cukup indah dan bermakna sepanjang hidup kerana saya sudah menantikan detik ini selama 25 tahun.
“Ini juga umpama mimpi jadi kenyataan. Selama ini, tipulah jika saya tidak merasa sedih apabila tewas dan gagal membawa pulang trofi apabila membolosi kelompok Top 5.
“Tetapi, kesedihan bukanlah sampai tahap kecewa, sebaliknya terus menyuntik semangat untuk buat yang terbaik,” katanya.
Elly berkata, dia tetap meneruskan perjalanan kerjaya selagi khidmatnya diperlukan.
Credit: Selebriti – Murai MY