Pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, penyanyi asal Indonesia, Nabila Taqiyyah mengakui jatuh cinta dengan makanan di negara ini.
Makanan Malaysia the best
Menurut Nabila, antara makanan yang menambat hatinya adalah nasi kandar dan nasi daun pisang.
Makanan di Malaysia banyak yang sedap, antaranya nasi kandar dan nasi daun pisang. Di Indonesia makanan seperti itu tiada.
Nanti ada masa lapang, saya mahu jalan-jalan lagi untuk cuba hidangan dan makanan yang menarik di sini.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharu kumpulan kugiran terkenal, Insomniacks berjudul Teman EP di sebuah pusat beli belah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Nabila juga mempunyai sebuah lagu duet bersama Insomniacks dalam album tersebut iaitu Belum Mulai.
Berkongsi mengenai perasaan berkolabrasi bersama kumpulan yang dianggotai tiga jejaka tampan itu, Nabila berkata, dia terus bersetuju ketika ditawarkan untuk merakam lagu Belum Mulai.
Pertama kali dengar lagu ini saya terus suka dan apabila ditanya mahu atau tidak duet dalam lagu ini saya terus bersetuju.
Cara mereka (Insomniacks) menghasilkan lagu ini juga sangat bagus, sebab itu saya tidak fikir panjang. Semoga pada masa akan datang dapat berduet lagi dengan Imsomniacks.
Duet dengan Siti
Disoal mengenai hasrat untuk berduet dengan penyanyi Malaysia, pemenang tempat kedua Indonesia Idol 2023 itu menjawab, dia ingin merakam lagu bersama penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sudah pasti ingin berduet bersama Siti Nurhaliza, dia merupakan penyanyi kegemaran ramai termasuk di Indonesia.
Kalau artis lain saya belum terfikir lagi kerana saya jarang mendengarkan lagu-lagu Malaysia.
Sekadar info, album Teman EP merupakan album ketiga Insomniacks dan sudah diluncurkan pada 9 Ogos lalu.
Teman EP menampilkan lapan trek iaitu Sayang/Cinta, Temani Hati, Dimana, Teman, Cerita Kita, Igauan Malam dan Belum Mulai.