Bekas pelakon “James Bond”, Pierce Brosnan berdepan dengan kemungkinan dipenjara selama enam bulan di Amerika Syarikat. Aktor dan penerbit Ireland ini dikatakan telah melanggar peraturan di Taman Negara Yellowstone ketika menjalani penggambaran “Unholy Trinity”
Pierce akan hadir ke Mahkamah Wyoming pada 23 Januari 2024; bagi menghadapi pertuduhan merentas ke kawasan terma yang terhad dan berbahaya di taman negara itu.
Insiden yang berlaku pada 1 November 2023 baru-baru ini, Pierce didakwa meninggalkan laluan yang ditetapkan di bahagian Mammoth Terrace, Yellowstone cuba mendekati mata air panas terlindung di Mamoth Terraces.
Akibat daripada tindakannya itu, Brosnan dihadapi dua pertuduhan iaitu (1) Berjalan di Kawasan Terma dan (2) Pelanggaran Penutupan.
Untuk pengetahuan kamu, peraturan persekutuan menguatkuasakan dengan tegas bahawa pelawat mesti kekal di laluan pejalan kaki yang ditetapkan. Ianya bertujuan untuk memastikan keselamatan dan melindungi ekosistem taman negara itu.
Sekadar info, Pierce merupakan salah seorang daripada beberapa pelancong yang cuba melanggar peraturan di taman negara ini. Sumber mencatatkan sekurang-kurangnya 22 orang telah kehilangan nyawa akibat melecur ketika berada di mata air panas dan geiser Yellowstone.
Jika didapati bersalah, Pierce mungkin berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga $5000 (RM22957.50).