Pihak pengurusan Nur Fazura bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung kes perceraian aktres itu dengan suami, Fattah Amin.
Surat saman
Menurut peguam syarie yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, aktres itu amat terkilan dengan pelbagai spekulasi yang bertebaran dalam media sosial mengaitkan rumah tangganya.
Pihak pengurusan Fazura terkilan dengan kenyataan yang dirasakan sudah menfitnah Fazura. Perkara yang dikatakan itu tidak benar.
Pihak kami mahu beri satu peringatan bahawa kami sudah kenal pasti pihak-pihak tertentu dan tindakan sepatutnya akan diambil melalui pihak polis dan MCMC.
Saman melalui prosiding mahkamah dan notis mahkamah (LOD) juga akan dibuat terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan fitnah sepanjang kes perceraianya mula diperkatakan sehingga sekarang.
Fakhrul berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada Rabu.
Dalam pada itu, Fakhrul memberitahu, seramai lima individu sudah dikenal pasti untuk diambil tindakan lanjut.
Setakat ini sudah kenal pasti sebanyak 4 hingga 5 individu tetapi tindakan akan dibuat ke atas individu yang mula-mula sekali keluarkan kenyataan.
Pada 13 September lalu, Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Menerusi sebutan kes permohonan perceraian yang berlangsung pada Rabu, mahkamah meminta pasangan selebriti itu menyelesaikan konflik rumah tangga mereka di luar mahkamah sebelum tarikh sebutan semula pada 7 Oktober depan.
Imbas kembali, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.