Pemegang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 iaitu Lee Zii Jia meluahkan rasa syukur dan gembira dengan pencapaian yang dikecapinya sepanjang melibatkan diri dalam sukan badminton.
Luahan Lee Zii Jia
Menerusi perkongsian di Instagram, Lee Zii Jia akui bahawa pingat yang diraihnya di Olimpik Paris 2024 mempunyai nilai yang luar biasa buat dirinya.
Selepas Olimpik sulung saya di Tokyo 2020, saya sama sekali tidak menyangka laluan berliku yang bakal saya tempuh.
Mujur dalam impian saya bergerak sebagai profesional saya memiliki sebuah pasukan dalam bentuk TeamLZJ yang cukup komited. Kerana mereka, saya memiliki kekuatan menghadapi jatuh bangun sejak menjadi professional pada 2022.
Dalam pada itu, Zii Jia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk mencapai segala impiannya.
Pingat gangsa ni tidak mungkin jadi realiti kalau tidak kerana cinta saya pada Malaysia, dan juga syukur kepada penaja saya @victorsport_official @lg_malaysia dan @my100plus .
Kepercayaan yang mereka berikan disebalik pelaburan wang ringgit pada saya untuk merealisasikan apa sahaja impian saya membawa makna lebih besar untuk saya terus kekal bermotivasi.
Tidak lupa juga kepada mereka yang pernah menaja saya serta Universiti Malaya yang memberikan saya kemudahan untuk meningkatkan prestasi saya, kejayaan ini saya kongsi bersama anda.
‘Impian Pingat Emas Olimpik sulung Malaysia jadi realiti’
Bukan itu sahaja, atlet berusia 26 tahun ini meluahkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia dan penyokong di seluruh dunia yang sentiasa memberi semangat dan sokongan buat dirinya agar terus berjuang.
Juga kepada @kbsmalaysia serta @msn_malaysia_official kerana sentiasa menyokong atlet, @isnmalaysia atas bantuan perubatan sepanjang Olimpik, Terima Kasih kepada @olympicmas dan juga Chef De Mission Negara di Olimpik Paris Datuk Hamidin Mohd Amin dalam memastikan urusan penginapan dan terutama sekali, kad akreditasi membabitkan anggota pasukan saya agar saya memiliki kekuatan penuh bertanding di Olimpik Paris 2024.
Tidak dilupakan Timbalan CDM Datuk @nicoldsquash yang sentiasa ada ketika setiap perlawanan menyokong saya.
Akhir sekali, Zii Jia berkata dia tidak akan berputus asa dan terus berjuang untuk membawa pulang pingat emas kepada Malaysia.
Iltizam saya adalah untuk memastikan Impian Pingat Emas Olimpik sulung Malaysia jadi realiti, saya akan terus bekerja keras berbekalkan doa dan sokongan anda semua.