Susulan peningkatan kes jenayah yang melibatkan kaum Hawa sebagai mangsa, pelakon dan penyanyi Qistina Khaled mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati.
Tak kongsi maklumat
Ketika ditemui , pelakon meningkat naik tersebut berkata dia tidak akan keluar rumah bersendirian selain tidak berkongsi tentang lokasi di mana dia berada sebagai langkah berjaga-jaga.
Takut juga bila kes macam ini naik serentak tapi apa yang saya buat, saya tak keluar seorang diri bila ke mana-mana.
Orang yang tak dikenali pun boleh kena macam ni, bayangkan kita yang jumpa dengan ramai orang, jadi tak mustahil untuk benda itu jadi dekat kita.
Saya kena lebih berhati-hati dan tak boleh nak terlalu menonjol, tidak berkongsi lokasi malah kalau saya buat siaran langsung (media sosial) pun di rumah sahaja.
Meskipun dirinya mudah terdedah dengan bahaya namun pelakon drama Khunsa ini tidak bercadang untuk mengupah pengawal peribadi.
Setakat ini tidak, sebab saya jarang keluar rumah.
Qistina berkata demikian seusai majlis tayangan drama Ke Kodiang With Love yang berlangsung di Mid Valley, Kuala Lumpur pada Rabu.
Bagaimanapun, aktres berusia 20 tahun tersebut berasa bersyukur kerana tidak pernah menerima sebarang ancaman mahupun komen ugutan daripada mana-mana individu.
Alhamdulillah tak pernah, saya sangat-sangat lega dan bersyukur sepanjang terlibat di dalam industri saya tidak pernah terpalit dengan kontroversi atau perkara negatif.
Menurut Qistina, dari awal penglibatan di dalam dunia seni lagi dia sudah berlapang dada dengan kritikan yang akan diterima.
Dalam dunia TikTok ada juga yang meninggalkan komen negatif, siber buli, kritik tentang tubuh badan tapi saya pun sudah bersedia untuk masuk dalam industri jadi perkara-perkara inilah yang saya kena hadap.
Nak tak nak kena kuat, takkan nak tunjuk kita ini lemah di hadapan orang. Lagi kita tunjuk lemah, lagi orang suka.
Pada saya, orang yang komen begini hanya mahukan perhatian.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita iaitu Nur Farah Kartini yang dijumpai di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada jam 6 petang Isnin selepas dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu.
Sekadar info, Ke Kodiang With Love turut membariskan pelakon popular Hun Haqeem, Danish Hazriq serta juara Hero Dewi Remaja 2023, Aiman Ameer.