Akademi Raja Azrey yang telah beroperasi sejak 2019, terus membuktikan komitmennya dalam mencungkil dan mengasah bakat baharu dalam industri lakonan melalui program kelas lakonan yang komprehensif.
Dengan gabungan silibus teori dan praktikal, Akademi Raja Azrey menyediakan peluang unik kepada peserta untuk berkampung selama tiga hari berturut-turut bermula hari Jumaat hingga Ahad bagi mendapatkan pendedahan secara langsung dan merasai suasana penggambaran yang sebenar.
Berpeluang berlakon di set penggambaran
Menerusi temu bual bersama OhBulan, Raja Azrey menjelaskan bahawa program ini menawarkan lebih daripada sekadar latihan teori. Ujarnya, setiap peserta akan menjalani sesi teori pada waktu pagi dan petang, diikuti dengan sesi praktikal pada waktu malam, di mana mereka berpeluang berlakon di set penggambaran yang disediakan khas.
Program ini juga memberi mereka peluang untuk beraksi di hadapan kamera sekaligus mendapat sijil yang diiktiraf di bawah Akademi Raja Azrey.
Matlamat utama kami adalah untuk memberikan pendedahan menyeluruh kepada mereka yang berminat dalam bidang lakonan. Kami tidak hanya menekankan teori tetapi juga kepentingan praktikal dalam latihan, kata Raja Azrey.
Peserta kami akan merasai keseronokan beraksi di hadapan kamera dan mendapatkan com card yang lengkap, sekaligus membantu mereka dalam perjalanan karier seni nanti.
Budak Cheras VS Budak Gurun
Tambah Raja Azrey, untuk siri keempat di Cheras ini, dia melakukan sesuatu yang sangat istimewa iaitu mengadakan Majlis Malam Tonton Perdana dan Pelancaran Telefilem “Budak Cheras Vs Budak Gurun”.
Untuk siri kali ini, saya ada 30 orang peserta. Saya gabungkan elemen dari siri Budak Cheras dan Budak Gurun sebelum ini. Jadi ia melibatkan pertelagahan antara penduduk Cheras dan Gurun, Kedah.
Disoal mengenai cabaran menghasilkan telefilem ini, Raja Azrey secara ringkas menjawab, dia perlu mengenali karakter setiap peserta terlebih dahulu sebelum menulis skrip dalam masa yang singkat.
Cabaran saya nak cari watak yang sesuai untuk setiap peserta, terutamanya mereka yang baru pertama kali menyertai program ini. Untuk peserta baru, saya perlu menilai video mereka, membuat kajian, dan mengadakan temu bual sebelum menghasilkan skrip.
Skrip disediakan tiga minggu sebelum sesi bermula. Saya juga memberi panduan kepada mereka mengenai warna baju yang perlu dipakai dan dibawa menerusi sebuah group WhatsApp demi memastikan konsistensi penampilan mereka semasa penggambaran.
Konsep ini mirip dengan Akademi Fantasia, tetapi dengan pendekatan yang lebih fokus kepada latihan lakonan sebenar.
Malam ini, peserta akan merasai kegembiraan menonton telefilem mereka di pawagam, seolah-olah mereka adalah pelakon profesional.
Pelbagai peringkat umur
Berbicara lebih lanjut, pelakon ‘Blok 404’ ini berkata, dia sentiasa memberi nasihat kepada semua pesertanya agar sentiasa berdisiplin sekiranya mahu menceburi bidang lakonan.
Dalam akademi saya ini, ada pelbagai peringkat umur. Paling muda tujuh tahun dan paling tua umur 65 tahun. Saya tidak memilih peserta berdasarkan rupa.
Saya menerima semua orang selagi mereka menghormati saya. Dalam akademi, saya ibarat seorang bapa dan isteri saya seperti seorang ibu kepada mereka. Hal peribadi peserta tidak dicampur adukkan, namun disiplin tetap dijaga, tambah Raja Azrey.
Di akhir temu bual, sempat bertanya kepada Raja Azrey mengenai kos dan dana yang diterima untuk menyiapakan telefilem ini. Jelas Raja Azrey, dia menggunakan duit sendiri untuk menjalankan semua projek telefilem ini.
Saya guna duit saya sendiri dan tidak dapat dana mahupun tajaan daripada mana-mana pihak. Saya berharap kerajaan dapat memberikan dana untuk saya menjalankan projek-projek seperti ini secara berterusan.
Sekadar info, telefilem ini akan mula ditayangkan kepada umum pada 3 Sept 2024 jam 9 malam iaitu di platform Youtube Raja Azrey TV Channel.