Pelakon terkenal, Datin Seri Maria Farida, mendedahkan bahawa meskipun sudah berumah tangga, beliau masih menerima gangguan nakal daripada lelaki yang lebih muda.
Maria, atau nama penuhnya Maria Farida Atienza, yang kini berusia 55 tahun, menyatakan bahawa sebagai seorang isteri, beliau tidak tergugat dengan segala gangguan tersebut, sebaliknya masih setia bersama suami tercinta, Datuk Seri Rahman Sakur.
“Selalu juga diganggu dan memang ramai lelaki yang mencuba nasib menerusi platform media sosial,” ujar Maria.
Maria menambah bahawa beliau bahagia dengan rumah tangganya dan apa yang ditawarkan oleh lelaki-lelaki tersebut langsung tidak sama dengan apa yang suaminya berikan.
“Saya bahagia dan tak perlukan semua itu,” katanya dengan tegas.
Pelakon drama popular Astana Idaman itu juga menyatakan bahawa dia tidak membalas apatah lagi melayan segala usikan nakal tersebut kerana menganggapnya sebagai satu gurauan.
“Saya abaikan sahaja semua itu dan sudah biasa dengan gangguan sebegitu. Biasalah, mereka nak ajak ‘dating’, kahwin dan saya hanya gelak sahaja baca semua itu,” ujarnya sambil ketawa.
Maria mendirikan rumah tangga dengan Rahman pada November 2015, namun pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata. Sebelum perkahwinan dengan Rahman, Maria pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Penampilan Maria sering menjadi bualan ramai dan beliau digelar ‘vampire’ kerana wajahnya yang tidak dimamah usia.
Kejelitaannya yang kekal menawan meskipun usia semakin meningkat, menjadikan beliau inspirasi kepada banyak wanita dan terus diidamkan oleh ramai lelaki muda.