Pempengaruh media sosial, Misya Mazlan, telah mendedahkan bahawa video ‘boomerang’ mesra bersama madunya, Marissa Dania Hakim, sebenarnya dirakam sebelum kemelut rumah tangga mereka menjadi tular dalam media sosial.
Misya menerangkan bahawa selepas kisah mereka menjadi perhatian awam, keadaan berubah apabila berlaku sedikit perbalahan yang menyebabkan mereka memilih untuk membuat hal sendiri.
“Hi Assalamualaikum, ramai mesej Misya tanya tentang hantaran Marissa dan media pun sudah mula keluarkan ‘headline’. Gambar ini sebelum tular yang mana masa ini Marissa dan Misya sudah pun berbaik.
Sebab? Misya terima poligami dan apa yang terjadi. Kami pun berdamai tapi lepas viral tentang kisah nikah ini, semuanya berubah. Ada sedikit berbalah, Marissa dan Misya mula ada sempadan di mana masing-masing buat hal sendiri,” jelasnya menerusi Instagram Story.
Misya menegaskan bahawa video tersebut diambil sebelum kemelut rumah tangga mereka menjadi viral, dengan tarikh rakaman pada 14 Januari 2024.
Beliau juga menjelaskan bahawa sebelum ini, beliau hanya menekankan isu penggunaan jenama pakaian oleh Marissa dan suaminya sebagai model tanpa pengetahuannya.
Tegas Misya, beliau menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap pihak berkenaan yang tidak mengambil kira sensitiviti semua pihak, terutama dalam keadaan yang sedang tegang.
“Walaupun ada video tersebut, Misya tetap ‘husnudzon’ mungkin video tersebut dimuat naik tanpa pengetahuan Misya terlebih dahulu sebagai tanda rindu. Tapi mungkin satu hari nanti Marissa nak berbaik dengan Misya kan? Wallahualam. Mungkin Marissa rindu, selamat hari raya Marissa, lama kita tak berhubung. Maaf zahir dan batin ikhlas dari Misya,” jelasnya.
Pada Rabu lepas, Marissa membawa suaminya, Ahmad Aslam, bertemu Abby dan Norman di acara rumah terbuka keluarga besar mereka. Mereka sekeluarga meraikan hari raya di kediaman ibu kepada bekas suaminya, Norman di Kuantan, Pahang.
Dua hari selepas itu, Misya pula berkongsi foto bersama Aslam pada 1 Syawal menandakan mereka masih bergelar suami isteri yang sah.
Krisis rumah tangga mereka mula meletus pada September 2023 apabila Marissa didakwa menjadi orang ketiga sehingga menyebabkan Aslam dan Misya bercerai, namun rujuk semula ketika masih dalam idah.
Untuk rekod, Aslam dan Misya mempunyai dua cahaya mata iaitu Hud, 3, dan Nuh, 2 tahun.