Bersikap profesional, pelakon Rashidi Ishak mengakui tidak menjadi masalah untuk dia bekerja di bawah arahan isterinya iaitu pengarah, Wan Hasliza
Tiada istilah dominan
Menurut Rashidi, 51, dia juga tidak kisah jika Wan Hasliza menjadi ketua dalam rumah tangga mahupun di tempat kerja. Malah, tidak pernah timbul isu dominan antara satu sama lain.
Ikutkan dia (isteri) ketua dekat rumah dan di luar. Saya gembira jadi penolong ketua. Tak timbul isu siapa lebih dominan dalam rumah tangga kami. Umur kami pun sebaya.
Kami sama-sama dalam bidang hiburan. Isteri lebih kepada bahagian penerbitan, penulisan dan pengarahan manakala saya pula dalam bidang kreatif teknikal seperti lakonan.
Kami sangat serasi untuk bergabung dan bekerjasama sekali. Jadi tidak pernah bergaduh dalam hal kerja, kalau gaduh pun fasal makan.
Rashidi berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di Zebra Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Profesional
Berkongsi lebih lanjut, Rashidi berkata, dia lebih senang bekerja dengan anggota keluarga sendiri tetapi masih mengekalkan sikap profesional sewaktu berada di set penggambaran.
Bagi saya sangat senang bekerja dalam situasi seperti ini (keluarga) tetapi saya tidak tahu bagaimana dengan orang lain.
Macam mana pun kami perlu kekalkan sikap profesional itu. Ada masa kita marah, ada masa kalau kita rasa tak betul kena luahkan juga.
Kalau dengan orang yang bukan anggota keluarga kita senang nak tegur tapi dengan ahli keluarga sendiri ada cara untuk menegur.
Untuk rekod, Rashidi dan Wan Hasliza mendirikan rumah tangga pada 2 Februari lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Masjid Sri Sendayan Negeri Sembilan.
Pasangan ini mula berkenalan ketika terlibat dalam penggambaran drama Kampung People sekitar empat tahun lalu.