Pernah digelar ‘Hero Malaya’ suatu ketika dahulu, pelakon Remy Ishak mengakui tidak berasa tercabar dengan kehadiran bakat baharu yang saban tahun semakin ramai mewarnai industri seni.
‘Liga berbeza’
Menurut Remy, tiada sebab untuk dia berasa tergugat mahupun bersaing antara satu sama lain kerana menganggap mereka berada pada ‘liga’ yang berbeza.
Saya ambil contoh macam permainan bola sepak, ada Liga Malaysia ada Liga Super. Jadi kami pada liga yang berbeza sebenarnya. Buat apa untuk kami bersaing.
Rasa terancam atau sebagainya tidak langsung. Tetapi dengan kehadiran bakat-bakat baharu ini akan menggantikan bakat lama. Saya dulu pun begitu juga, proses itu memang ada.
Andai nama-nama disebut (Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf) mendapat permintaan yang tinggi, memang wajar kerana sekarang zaman mereka.
Saya pula ada level saya sendiri, mungkin di filem, OTT (over the top) atau sebagainya.
Sementara itu, disoal adakah Remy menonton karya lakonan pendatang baharu, dia menjawab ada kalanya tidak sempat disebabkan kesibukan kerja.
Tipu lah kalau saya tidak tahu kewujudan mereka. Cumanya kadang kala terlepas untuk tengok hasil lakonan mereka di kaca TV. Sebab lakonan saya sendiri pun kadang-kadang saya tak sempat nak tengok.
Dalam perkembangan lain, Remy bakal muncul dengan filem baharu berjudul The Experts. Selain Remy, filem itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Maya Karin, Syafiq Kyle dan Mimi Lana.