Sebelum ini, viral sebuah rakaman video yang memaparkan pasangan suami isteri membawa anak mereka menaiki motosikal ke hospital. Lebih mencuri perhatian, anak kepada pasangan tersebut memakai alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP).
Rezeki anak terus melimpah
Memetik laporan Harian Metro, kepayahan yang terpaksa dilalui Mohd Azlan Ishak dan Norhidayu Halim itu turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerusi setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga itu.
Terbaru, Azlan memberitahu mereka menerima hadiah sebuah kereta Proton Persona daripada seorang pengusaha kereta terpakai.
Alhamdulillah, rezeki anak saya terus melimpah sehinggakan ada yang sanggup menghadiahkan kereta terpakai untuk kami, semalam.
Ujar Azlan, pengusaha kereta terpakai itu berasa simpati melihat keadaan mereka yang membawa Aariz ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menaiki motosikal.
Saya memang berkenan kereta Proton Persona hijau di kedai itu dan hanya membawa wang tunai RM3,000 untuk membeli kereta di situ
Apabila ditanya kepada pengusaha kedai kereta itu, dia tanya sama ada saya minat dengan Proton Persona itu. Saya kata memang minat dan saya terkejut apabila dia menghadiahkan kereta itu demi Mohd Aariz.
Jelas Azlan lagi, segala proses dokumen kereta Proton Persona itu sudah diuruskan oleh kedai kereta terpakai itu.
Saya juga berterima kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu menghulurkan sumbangan sehingga kini mencecah lebih RM100,000.
Saya tak pernah minta pada sesiapa sebelum ini walaupun pernah ada RM12 dalam tangan hinggakan ada juga yang mengecam saya dan isteri namun saya tak ambil kisah sangat.
Kalau tidak kerana ada yang tular gambar kami tiga beranak di media sosial baru-baru ini mungkin agak susah kami untuk menguruskan kehidupan memandangkan saya baru sembuh dari demam campak dan tidak dapat bekerja.