Pelakon jelita, Rita Rudaini menitipkan nasihat kepada rakan-rakan seindustrinya agar tidak takut dan risau jika mereka kehilangan tawaran pekerjaan.
Yakin rezeki Allah
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram Story (IG) miliknya, Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, berkata dia pernah mengalami keadaan yang sama sebelum ini.
Situasi itu dilalui Rita selepas dia nekad untuk tidak mengambil vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, ibu kepada dua orang anak ini tetap yakin dengan rezeki Allah SWT.
Kalau yakin rezeki itu dari Allah, insya-Allah. Jangan risau, jangan takut.
Sis dah pernah lalui zaman vaksin dulu. No vaccine, no job for you Rita.
Tapi dia orang lupa yang sis ada Allah. Allah yang pegang rezeki sis.
Meskipun Rita tidak menyatakan apakah tujuan kenyataan tersebut dikeluarkan, namun rata-rata warganet percaya ia merujuk kepada gerakan Blockout2024 yang sedang berlaku ketika ini.
Terdahulu, susulan majlis Met Gala 2024 yang berlangsung pada hari yang sama Palestin di serang oleh tentera Israel, ramai pengguna media sosial melancarkan gerakan Blockout2024 dengan memboikot selebriti Hollywood yang tidak menyokong Palestin.
Difahamkan gerakan itu juga turut dilakukan oleh warganet di Malaysia. Mereka meluahkan rasa kecewa berikutan ramai artis tempatan yang menjadi wajah untuk beberapa jenama terkenal antarabangsa yang diboikot.
Warganet juga dilihat kesal berikutan selebriti-selebriti tersebut didakwa masih lagi giat mempromosikan barangan berkaitan dengan Israel.