Rock Warrior Music Festival yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 November ini di KL Base, Sungai Besi, terpaksa ditunda ke Mei 2025.
Cuaca tidak menentu
Wakil penganjur konsert dari Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd, Datuk Eddy Amir Salim, memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ramalan cuaca yang menunjukkan kemungkinan hujan lebat dan risiko banjir akan berlaku di kawasan tersebut.
Pihak penganjur telah merujuk kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada awal November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.
Sebagai penganjur, keselamatan para peminat dan kelancaran festival adalah keutamaan kami. Kami juga berhasrat untuk menjaga sensitiviti masyarakat, khususnya mereka yang terkesan akibat bencana banjir.
Penjadualan semula ke bulan Mei 2025 ini memberi kami peluang untuk membuat persiapan yang lebih menyeluruh dengan harapan dapat menawarkan pengalaman festival yang lebih baik dan memuaskan dalam keadaan cuaca yang lebih sesuai.
Susulan penundaan itu, Eddy memohon maaf kepada peminat yang sudah membeli tiket dan akan mengemas kini maklumat konsert di platform media sosial.
Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pemahaman yang diberikan.
Semua pembelian tiket yang telah dibuat akan tetap sah untuk tarikh baharu, dan kami akan mengemas kini maklumat lanjut di laman web serta platform media sosial kami.