Untuk memenuhi selera peminat siri Korea yang mempunyai pengikut tersendiri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan drama romantik komedi.
Bermula 25 Oktober 2023
Drama yang popular iaitu “True Beauty” akan mula disiarkan pada 25 Oktober ini setiap Rabu hingga Sabtu, pada pukul 8.00 malam di TV2.
Siri 16 episod ini juga boleh ditonton di RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my) dan menceritakan tentang watak utamanya iaitu seorang pelajar sekolah bernama Im Ju Kyung.
Sejak kecil, dia selalu merasa penampilannya tidak menarik dan sering menjadi mangsa ejekan oleh keluarga dan teman-temannya.
Sebaik sahaja remaja, Ju Kyung mula menutup wajah asalnya dengan make-up selepas mengikuti video tutorial di media sosial.
Dia sentiasa bersolek tebal sebelum keluar dari rumah atau bertemu dengan sesiapa sahaja.
Gembira Mengubah Diri
Ju Kyung gembira kerana mampu mengubah dirinya menjadi gadis yang sangat cantik.
Kawan-kawan sekolahnya memanggilnya dengan gelaran ‘dewi’.
Namun dia tidak mahu mereka melihat wajah asalnya kerana takut akan kembali diejek.
Rahsia besar Ju Kyung terbongkar apabila wajah asalnya dilihat oleh Lee Su Ho, seorang pelajar tampan, popular, dan misteri di sekolah.
Su Ho tidak suka mendapat perhatian dan sering menjauhkan diri daripada rakan-rakan sekelasnya.
Dia juga menyimpan rahsia silamnya tentang kejadian tragis yang telah menghantuinya sejak lama.
Menyimpan Rahsia Sendiri
Kejadian itu membuat Su Ho menjauhkan diri daripada sahabatnya, Seo Jun.
Mereka akhirnya mula bersahabat dan menyimpan rahsia masing-masing.
Tonton drama ini di TV2 atau di RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my)