Sebelum debut di layar Bollywood, pelakon Arjun Kapoor pernah menjadi salah seorang krew belakang tabir kepada Salman Khan. Apabila muncul dakwaan mengenai Salman menjadi pembuli tegar dalam industri, Arjun muncul membersihkan nama superstar kegemarannya itu.
Dalam podcast bersama Raj Shamani, Arjun berpendapat Salman mempunyai imej yang agak garang, tidak mudah disapa dan juga sombong. Tetapi imejnya itu tidak menunjukkan perangai sebenar Salman.
View this post on Instagram
“Salman bukan seorang pembuli. Saya menyedari sesiapa sahaja yang mempunyai imej yang sukar untuk disapa akan dilabel sebegitu. Tetapi Salman ialah seorang yang mesra. Jika kamu tidak cuba bermesra dengannya di awal perkenalan, kamu akan rasa dia sangat susah untuk disapa, sombong dan pembuli.”
Bukan itu sahaja, Arjun turut mendedahkan Salman seorang yang mesra dan sangat ramah, tetapi dia tidak menunjukkan sisinya itu sejak awal. Hanya orang tertentu sahaja boleh melihat perangai sebenarnya.
“Apa yang membuatkan Salman sangat istimewa ialah, dia seorang lelaki yang sangat berani dalam dunia. Tak ada satu benda pun dia takuti dalam dunia ini. Dia sentiasa hadapi semuanya dengan tenang.”
Sekadar info, Arjun pernah bekerja sebagai penolong pengarah dalam filem Salman Khan iaitu “Wanted” (2009) dan menampilkan lagu “Salman Ka Fan” dalam filem “Tevar”.