Namanya mungkin tidak sepopular rakan-rakan artis seusianya, namun bagi Amir Zaki Misri atau lebih mesra disapa Ki Misri, bakat yang dimilikinya punya jiwa yang tersendiri.
Hasil Nukilan Sendiri
Kali ini dia tampil dengan mempersembahkan single terbaharunya berjudul ‘Orang Baik’, hasil nukilannya sendiri bersama barisan komposer berbakat, Barr Hadiff dan juga Rudy Nastia, manakala terbitan oleh syarikat rakaman unggul negara, Warner Music Malaysia.
Diam tak diam ini merupakan single ketiga Ki Misri bersama Warner Music Malaysia, dan setiap kali karya yang dihasilkannya punyai cerita tersendiri dan maksud yang mendalam.
Lagu Orang Baik mengisahkan tentang menghargai orang-orang yang selalu menyokong kita dan sentiasa memberikan semangat.
Sesetengah orang sentiasa memikirkan tentang kata-kata buruk orang lain sehingga membuatkan diri tertekan, seharusnya tidak perlu sebegitu, cuma fikirkan tentang orang baik yang selalu ada dengan kita kerana itu yang lebih wajar.
Mempunyai Jiwa “Old School”
Walaupun muda, jiwanya ‘old-school’ dan genre yang dibawakannya lebih kepada pop ‘folk’ yang kebiasaannya dibawakan oleh pengkarya yang jauh berumur darinya.
Proses menghasilkan sesebuah karya akan melalui masa yang panjang dan lagu ‘Orang Baik’ memakan masa selama empat bulan untuk disiapkan, manakala proses rakaman pula dilakukan di Studio Mixbro Records kepunyaan Rudy Nastia.
Selain single, sebuah lirik video turut dilancarkan dengan pengimejan karikatur yang menarik, dan sebuah video muzik (MV) bakal dihasilkan kelak dengan penceritaan yang metaforik.
Lagu ‘Orang Baik’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, KKBox, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran khas YouTube Warner Music Malaysia.