Gandingan Sarah Suhairi dan Alfie Zumi menerusi lagu SAH (Setia Akhir Hayat) ternyata menjadi apabila ia terus mendapat tempat di hati peminat sejak dilancarkan tiga bulan lalu.
18 juta tontonan
Menerusi pemerhatian pihak muzik video lagu tersebut sudah mencecah 18 juta tontonan di saluran YouTube Rusa Music. Tidak cukup dengan itu, lagu duet SAH bukan saja mendapat tempat di hati peminat tempatan, malah di Indonesia dan Thailand kerana SAH versi ‘remix’ dikeluarkan di platform digital seperti TikTok.
Menurut Sarah, dia sangat bersyukur kerana lagu itu mendapat sambutan peminat dari luar negara juga.
Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur dengan sambutan pada lagu duet itu. Ramai yang suka lagu duet itu terutama kanak-kanak yang turut sama menari bila menonton video lagu itu.
Disoal mengenai kerjasama dengan Alfie, juara program Big Stage 2018 itu berkata, semuanya bermula di media sosial.
Saya mula kenal Alfie dengan melihat banyak ‘content’ (kandungan) yang dimuat naiknya di TikTok. Pada pandangan saya, Alfie ada kualiti sebagai pencipta lagu dan dari situlah, timbul minat untuk bekerjasama dengannya.
Bila melihat profil Alfie, saya terus beritahu kepada syarikat rakaman, saya mahu bekerjasama dengannya untuk lagu SAH ini.
Tambah Sarah, jika nak diikutkan dia pernah bekerjasama dengan Alfie pada 2020.
Kami pernah bekerjasama ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tapi bukan secara langsung ketika dia pernah menjadi koreografer untuk penari latar saya ketika itu.
Saya tidak dapat datang ketika latihan kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Alfie hantar video bersama penari latar.
Sarah yang ditemui di Majlis Raikan Raya Warner Music, baru-baru ini, turut menafikan dakwaan bahawa dia sedang menjalin hubungan istimewa dengan Alfie pada masa ini.
Saya sedar ada pihak yang menyangka kami ada hubungan istimewa sedangkan kami rapat sekadar pasangan duet saja dan tidak lebih dari itu.