Seorang peminat berkongsi pengalaman dia membawa bapanya pergi ke Konsert Aina Abdul Imaji Tour yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada Sabtu.
‘Menangis dengar suara Aina’
Menurut individu tersebut, bapanya mengalirkan air mata ketika pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 31, membuat persembahan.
Kongsi dia lagi, bapanya juga memuji bakat dan suara yang dimiliki oleh pemenang vokal terbaik tiga kali berturut-turut di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) itu.
Saya bawa ayah saya pergi UUM untuk menyaksikan persembahan Aina, tak sangka ayah puji nyanyian.
Malah, ayah menangis sewaktu Aina membuat persembahan. Wahai Aina, bapa saya sekarang secara rasmi adalah Ainations!
Individu tersebut berkata demikian menerusi komen yang ditinggalkan pada sebuah video memaparkan Aina menyanyikan lagu ‘Jadi Ajar Aku’ pada konsert berkenaan.
Selesai Imaji Tour
Konsert yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM dengan dihadiri 1,5000 penonton itu merupakan destinasi terakhir jelajah album sulung Aina berjudul IMAJI.
Dalam konsert yang berlangsung selama tiga jam, Aina telah menyampaikan sebanyak 20 buah lagu, antaranya Imaji, Kejam, Satu Rasa, Jadi Ajar Aku, Penat Jiwa, Kunci, Sumpah, Menua dan banyak lagi.
Terdahulu, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merupakan lokasi pertama Konsert Aina Abdul Imaji Tour yang diadakan pada 14 Disember lalu.
Kemudian diikuti di lokasi kedua di ZEPP KL pada 27 Disember lalu sebelum berakhir di UUM.
Ketika di ZEPP KL, pelantun lagu ‘Terus Hidup’ itu ada memberitahu bawah dia bakal berehat daripada menganjurkan sebarang konsert solo pada 2025 bagi memberi ruang kepada dirinya mencuba perkara baharu dalam bidang muzik.
Tuturnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perancangan lain yang sudah diatur bersama syarikat pengurusannya, Aina Abdul Entertainment.