Sekitar awal bulan lalu, salah seorang anggota kumpulan Dolla iaitu Syasya memaklumkan pengundurannya daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, pelakon dan penyanyi Azira Shafinaz percaya kumpulan itu tetap dapat mengembangkan bakat mereka meskipun setelah pengunduran Syasya
Doakan Dolla
Ketika ditemui Azira merasakan pengunduran tersebut sebagai satu kehilangan untuk kumpulan Dolla, berikutan nama mereka sudah melonjak naik di dalam industri hiburan.
Saya mengagumi bakat mereka, saya suka dengar lagu-lagu mereka malah lagu mereka ada di dalam Spotify saya.
Saya rasa ianya adalah satu kehilangan jika berita mengenai pengunduran itu benar, tapi saya percaya mereka mampu untuk pergi lebih jauh.
Bertiga atau berempat, mereka mempunyai pakej yang baik. Mereka ada rupa paras, tarian yang hebat dan lagu-lagu yang boleh berada di tahap antarabangsa. Lagi pula sekarang ini mereka sudah terkenal di China.
Walau bagaimanapun, ahli kumpulan De Fam itu hanya mampu mendoakan agar Dolla dapat mengharungi setiap cabaran yang datang dengan baik.
Saya doakan Syasya baik-baik sahaja, malah saya sendiri pun tak tahu sampai bila saya akan terus bersama De Fam.
Ia adalah pilihan masing-masing dan saya hanya mampu untuk mendoakan yang terbaik buat mereka.
Azira berkata demikian ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem Sheriff: Narko Integriti yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Impian jadi kenyataan
Dalam pada itu, Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan teruja apabila diberikan peluang untuk menggalas karakter sebagai anggota polis di dalam filem tersebut walaupun berdepan dengan cabaran ketika di set penggambaran.
Ini kali pertama saya lakukan watak polis dan polis adalah cita-cita saya sejak dari kecil. Apabila diberi peluang memakai pakaian seragam, saya rasa sangat bangga.
Saya tak tahu yang sebenarnya semua letupan itu betul. Mereka letupkan dekat dengan telinga dan ianya terlalu kuat sampai saya kena pakai ear bud. Ianya menakutkan tapi dalam masa yang sama sangat menarik.
Bercerita lanjut, aktres berusia 32 tahun ini akui agak sukar untuk menjayakan watak yang menguji dari segi mental dan fizikal.
Karakter ASP Shazlin ini tidaklah begitu mendalam seperti karakter Inspektor Nazri (Syafiq Kyle), tetapi dia menyimpan rahsia dan banyak bermain emosi.
Filem Sheriff merupakan hasil karya terbaharu pengarah terkenal Syafiq Yusof yang turut membariskan pelakon-pelakon hebat antaranya Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz dan Elizabeth Tan.
Difahahamkan, filem tersebut telah berjaya meraih kutipan lebih RM 6.4 juta pada hari kedua tayangannya pada 19 April lalu.