Hampir lima tahun tidak membintangi sebarang naskhah, aktres Izara Aishah akhirnya kembali berlakon dalam sebuah drama arahan pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima.
Jalan cerita kekeluargaan
Izara atau nama lengkap Izara Aishah Hisham, 33, berkata, dia tertarik dengan jalan cerita drama yang bakal ditayangkan pada Ramadan kerana nakshah itu mengetengahkan isu kekeluargaan.
Malah, dia mengakui Erma berjaya memenuhi beberapa permintaannya yang sesuai dengan imej berhijab.
Saya kembali berlakon kerana jalan cerita drama ini pada saya sangat menarik, bukan tentang cinta tetapi keluarga. Watak saya juga sangat mencabar walaupun sekadar pembantu sahaja.
Selain itu, ini juga merupakan produksi Erma Fatima. Dia terima segala permintaan saya, apa yang boleh dan apa yang tidak.
Saya kan sudah berhijab, jadi ada permintaan tertentu yang saya minta dan Erma bersetuju. Sebelum dan selepas bertudung lain, saya lebih tegas sikit selepas berhijab.
Erma banyak kali juga lamar saya, tetapi drama ini sahaja yang saya terima.
Izara berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di sesi penggambaran drama Ramadan Raya terbitan TV3 di Seri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.
Tolak banyak tawaran
Berkongsi lanjut, Izara memberitahu dia terpaksa menolak beberapa tawaran sepanjang lima tahun disebabkan jalan cerita yang tidak bersesuaian dengannya.
Sepanjang lima tahun tidak berlakon ada sahaja tawaran yang saya terima tetapi perlu tolak. Kerana kebanyakan adalah cerita fasal percintaan..
Jalan cerita saya lihat tidak sesuai dengan saya. Ada yang fikir saya sudah berhenti berlakon, sebenarnya tidak. Saya masih mahu berlakon. Dari dulu lagi saya memang sedikit memilih.
Selain jalan cerita, bayaran juga setimpal dengan lakonan. Saya kan bertudung, ada limitasinya.
Selain Izara, drama 30 episod itu turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Paduka Umie Aida, Fattah Amin, Puteri Balqis, Muaz Zabir dan ramai lagi.