Penyanyi dari Indonesia, Allan Andersn memberitahu kepada media bahawa dia pernah menerima kata-kata semangat daripada Allahyarham Adibah Noor semasa menyertai program The Voice Indonesia pada tahun 2016.
Dinamik berasaskan penghayatan
Menerusi temu bual bersama , Allan berkata, kata-kata yang diberikan oleh arwah menerusi satu ciapan di aplikasi X berjaya membuatkan dirinya mahu terus berkarya dan menjadi seorang penyanyi.
Menurut bekas peserta program realiti X Factor Indonesia musim ketiga ini, dia sangat terinspirasi dengan kata-kata arwah yang mahu dirinya mengutamakan penghayatan dalam setiap nyanyian.
Ujar Allan, penghayatan bukanlah teknik yang boleh dipelajari dengan mudah sebaliknya ia perlu wujud secara semula jadi.
Apabila saya baca tweet tersebut, saya baru sedar perasaan sangat penting dalam nyanyian. Saya mahu berterima kasih kepada dia (Adibah).
Sejak dari itu juga saya belajar untuk lebih menghayati setiap lagu yang saya nyanyikan.
Cara saya menyanyi memang berbeza daripada penyanyi lain. Bagi saya menyanyi dari hati itu tidak sepatutnya dilatih kerana akan kedengaran seperti dibuat-buat.
Ia perlu datang secara semula jadi ketika menyanyi.
Lagu ‘Rindu’ sangat bermakna
Berbicara mengenai persembahan An Evening With Allan Andersn In Kuala Lumpur di Liberal Latte, Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Oktober, Allan mengakui dia berasa sangat gementar untuk menyanyi di Malaysia. Meskipun sudah pernah menetap di Malaysia sejak zaman belajar, perasaan takut itu masih wujud, ujarnya.
Sudah pasti akan ada yang cuba membandingkan cara nyanyian saya nanti. Jadi macam-macam persoalan timbul dalam fikiran saya. Saya seorang yang perfectionist dan mahukan yang terbaik. Kalau di Indonesia saya dah pernah melakukan banyak persembahan dan tidak pernah berasa takut seperti ini. Rasanya sangat berbeza.
Tambah anak kelahiran Tahuna, Sulawesi Utara ini lagi, apapun dia berasa gembira dan terkejut kerana tiket persembahannya di Kuala Lumpur mendapat sambutan yang baik.
Disoal mengenai popularitinya selepas lagu ‘Rindu’ viral di media sosial, Allan secara ringkas menjawab dia mengambil peluang yang ada untuk memperkenalkan bakat serta karya yang berlainan kepada peminat.
Sebenarnya saya suka sangat lagu Rindu nyanyian Agnes Monica itu. Lagu ini sangat bermakna buat saya dan saya ingin menyanyikannya kembali dengan susunan muzik yang lebih mencerminkan diri saya sekarang.
Secara peribadi, lagu ini mengubah banyak hal dalam kehidupan saya dan saya sangat berterima kasih untuk itu.
Saya melihatnya sebagai ‘berkat’ yang datang pada waktu yang tepat. Meskipun ada yang mungkin mengenali saya menerusi lagu ini, saya tidak terbeban. Sebaliknya, ia menjadi dorongan untuk saya terus memperkenalkan diri dan karya saya yang lain dengan lebih baik
Di akhir temu bual, Allan mengumumkan berita gembira buat semua peminatnya. Jelas Allan, dia sudah melancarkan single terbarunya berjudul ‘Ku Mau Bahagia Juga’, semalam.
Saya sangat menikmati proses menghasilkan setiap lagu kerana melalui karya, saya lebih bebas mengekspresikan diri dan perjalanan hidup saya.