Pelakon, Puteri Sarah Liyana tidak menganggap penceraian bekas suaminya, Syamsul Yusof dan Ira Kazar sebagai satu ‘kemenangan’ buat dirinya seperti mana yang diperkatakan segelintir netizen di media sosial.
‘Ini semua adalah takdir’
Ketika ditemui , pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamarddin sebaliknya menganggap apa yang berlaku adalah takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Tambah Puteri Sarah, dia juga sudah ‘move on’ dan tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan Syamsul.
Ini semua adalah takdir dan saya tak boleh nak cakap apa. Itu mereka (netizen) yang berkata.
Saya tak anggap itu satu kemenangan atau apa sebab saya dah tak ada kena mengena lagi dalam cerita ini. Dah lama tak ada kena mengena. Jadi, saya tak mahu komen banyak-banyak sangat.
Saya dah setahun lebih selesai dan saya pun dah ‘move on’. Saya sebenarnya tak mahu ada kena mengena dengan benda ini.
Itu hal mereka dan saya pun dah ada hidup baharu dan bab mereka pun dah habis.
Puteri Sarah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media Muzikal Lawak Superstar yang diadakan di Zebra Square, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
‘Jangan kaitkan saya lagi’
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang anak ini juga berharap orang ramai tidak mengaitkan lagi dirinya dengan sebarang isu melibatkan bekas suaminya dan Ira Kazar.
Jangan kaitkan lagi apa-apa isu dengan saya. Kasihan saya.
Mereka punya masalah, saya kena ‘interview’, kalau bukan saya Datuk (Yusof Haslam) dan Datin (Patimah Ismail) pun kena ‘interview’.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Puteri Sarah dilihat hadir meraikan momen bermakna Syamsul yang pulang ke pangkuan keluarganya selepas sekian lama berdepan dengan kemelut keluarga.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 7, dan Summayah, 5.
Mereka kemudiannya bercerai pada 14 Jun tahun lalu selepas Puteri Sarah sebagai isteri pertama pada ketika itu memfailkan perceraian susulan pernikahan Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.