Penyanyi popular Khai Bahar, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, baru-baru ini menafikan dakwaan bahawa dirinya gemar berhibur dan berparti selepas berkawan rapat dengan seorang pempengaruh yang juga usahawan selebriti.
Khai menyifatkan gosip tersebut sebagai cerita lama yang sengaja diputarbelitkan untuk mencetuskan kontroversi.
Menurut penyanyi lagu hit “Bayang” itu, beliau sudah tidak lagi aktif bersosial sejak ibunya jatuh sakit dua tahun lalu.
“Saya tak kata saya seorang yang baik, tapi saya ada jumpa kawan-kawan untuk sambut hari jadi dan makan-makan,” jelas Khai.
Khai menegaskan bahawa sejak awal 2022, ketika ibunya jatuh sakit, dia telah mengurangkan aktiviti sosial dan lebih menumpukan perhatian kepada keluarganya.
“Kalau lepak dengan kawan-kawan pun, kami pergi karaoke. Mungkin orang salah anggap dan menyangka saya berparti disebabkan suasana pusat karaoke itu sendiri yang agak suram apabila lampu ditutup,” katanya.
Penyanyi yang mencipta nama melalui aplikasi Smule ini juga tidak menganggap perbuatannya pergi berkaraoke sebagai salah. Baginya, ia adalah sekadar cara untuk menghiburkan diri sebelum keadaan ibunya menjadi lebih serius.
“Lepas emak sakit, saya terus berhenti pergi karaoke dan lepak. Sebaliknya, saya hanya fokus kepada keadaan kesihatan emak,” tambah Khai.
Ketika ditanya tentang perasaannya terhadap gosip yang tersebar, Khai memilih untuk tidak melayan provokasi yang boleh memancing emosi.
“Ikut suka merekalah asalkan orang yang buat fitnah itu puas hati. Apabila penat, berhentilah mereka. Kalau hendak lawan balik pun tiada faedah,” katanya dengan tenang.
Khai menegaskan bahawa dirinya kini lebih fokus pada kerjaya dan keluarganya, mengabaikan cerita-cerita negatif yang bertebaran.
“Siasatlah sampai dapat, saya tak buat apa-apa pun,” ujarnya.