Diuji dengan dugaan sukar untuk hamil, penyanyi Datin Alyah mendedahkan pernah mengalami keguguran pada tahun 2019 dan menegaskan dirinya tidak mandul.
Tak mandul
Alyah atau atau nama sebenar Noor Hasliah Abu Hasan, 45, berkata, dia juga pernah melakukan proses Persenyawaan In Vitro (IVF) sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat dan berjaya menyimpan lima telur.
Walau bagaimanapun, Alyah akur dengan keputusan membatalkan proses berkenaan atas saranan doktor susulan masalah kesihatan dialami.
Sebenarnya saya tidak mandul dan Tok Ram juga tidak mandul. Saya pernah mengalami keguguran pada 2019. Kemudian pada 2021 saya buat rawatan IVF dan mempunyai lima telur iaitu tiga lelaki dan dua perempuan yang sepatutnya disenyawakan pada 2023. Tetapi Covid-19, tangguh dahulu.
Doktor juga menasihatkan supaya tidak lakukan dulu. Saya dijangkiti Covid-19 dan alami masalah gastrik serta gerd. Lalu saya buat keputusan untuk lakukan bariatrik. Lepas buat bariatrik saya kembali sihat dan tiada lagi masalah kesihatan, tetapi kesan bariatrik menyebabkan saya kurang nutrisi.
Apabila kurang nutrisi saya tidak boleh hamil, lalu proses persenyawaan tersebut ditangguhkan. Kalau saya mahu hamil juga, akan mendatangkan risiko kepada kandungan.
Alyah mendedahkan perkara itu ketika ditemui di majlis Sajian Warisan Bonda, Buffet Ramadan di Restoran RBG, Park Inn by Radisson, Putrajaya pada Jumaat.
Lupakan IVF
Berhabis puluhan ribu ringgit, Alyah berkata, suaminya, Maestro Muzik Terkenal, Datuk Ramli MS juga menasihatkan untuk tidak melakukan proses IVF kerana berasa risau akan risikonya.
Tok Ram sendiri bimbang dengan saya kerana proses IVF itu sangat menyakitkan dan risiko akibat penyakit saya juga besar. Walaupun sedih dan tidak boleh terima, saya akur. Saya terpaksa lepaskan semua telur tersebut.
Bukan mudah untuk membatalkan proses IVF tersebut kerana kos yang kami keluarkan juga mencecah hampir RM100,000. Tetapi, saya percaya aturan Allah itu Maha Hebat, kita manusia hanya mampu merancang.
Hampir berputus asa untuk memiliki cahaya mata, pelantun lagu ‘Kisah Hati’ itu tidak menyangka doanya ketika mengerjakan umrah dimakbulkan apabila dua hari kemudian menerima khabar gembira mengenai kehadiran seorang bayi perempuan dari kalangan keluarga rapatnya.
Saya mengadu kepada Allah, akhirnya saya tenang sendiri. Saya anggap ada hikmah kenapa tidak boleh hamil dan batalkan proses IVF. Siapa sangka, kuasa Allah sangat hebat. Doa saya ketika mengerjakan umrah diangkat.
Pulang dari Tanah Suci, saya terima panggilan telefon dari salah seorang ahli keluarga yang minta bantuan untuk uruskan seorang bayi. Niat saya hanya nak bantu, tetapi Allah permudahkan dan bayi itu diberikan kepada saya.
Terdahulu, Alyah menerusi hantaran di Instagram berkongsi berita gembira apabila mengambil seorang anak angkat perempuan yang diberi nama Nur Izzara.
Sekadar info, Alyah mendirikan rumah tangga dengan Ramli atau mesra disapa Tok Ram pada 2013. Namun, mereka belum dikurniakan anak.
Bagaimanapun, Tok Ram yang pernah berkahwin dengan pengarah acara muzik, Jennifer Thompson dan dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini sudah dewasa.