Sebelum ini panas di media sosial yang mengatakan bahawa penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mungkin tidak perlu bimbang lagi berikutan rekod kehadiran konsertnya diatasi Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bulan lalu.
Peminat Konsert Coldplay Mengatasi Siti Nurhaliza
Sebelum ini, konsert Music Of The Spheres World Tour kumpulan British itu mencatatkan kehadiran 75,000 penonton, sekali gus mengatasi rekod 19 tahun yang dipegang Siti Nurhaliza dengan 70,000 penonton hadir menyaksikan konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour di tempat sama pada 2004.
Bagaimanapun, kehadiran penonton sewaktu perlawanan final Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu di SNBJ padaa 8 Disember mencatatkan kehadiran penyokong yang jauh lebih tinggi, iaitu seramai 80,550 orang penonton didaftarkan.
Enggan Terus Dikaitkan Dengan Acara Besar
Terbaru Datuk Seri Siti Nurhaliza kelihatan kurang selesa dengan sikap segelintir pihak yang sering mengaitkan dirinya dengan sebarang acara besar diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Siti menerusi hantaran di Instagram Story berkata, dia enggan terus dikaitkan dengan sebarang perkara yang berpotensi mengundang reaksi kurang senang daripada orang ramai.
Uols (kamu semua) ni kan suka tau buat ‘posting’ macam ini. Nanti kalau ada komen-komen saya juga yang kena. Janganlah ya, saya tak pernah risau apa-apa pun
Hantaran dibuat Siti adalah sebagai respon terhadap artikel yang menyatakan bahawa Siti Nurhaliza tak perlu risau, kerana final Piala Malaysia sudah dapat mengatasi Coldplay.
Bagaimanapun, rata-rata peminat menyelar perbandingan dibuat itu kerana disifatkan tidak adil memandangkan konsert dan perlawanan bola sepak adalah dua acara berbeza.