Sebelum ini, vokalis kumpulan Search iaitu Datuk Amy meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Noordin dan Kid yang sehingga kini ‘membisu’ mengenai bayaran royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection.
Nak cerita soal konsert sahaja
Terbaru, menerusi temu bual bersama Search memberitahu mereka enggan mengulas lanjut isu tersebut kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Menurut pemain bes, Nasir Daud, mereka bukan mahu menutup buku mengenai isu tersebut sebaliknya, mahu memberi fokus kepada Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur pada bulan September nanti.
Tambah Nasir, mereka bersepakat untuk tidak mahu menyentuh individu atau sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Search sebelum hadir ke sidang media, semalam.
Hari ini, kami hanya nak cerita soal konsert sahaja. Kami perlu berhati-hati menjawab. Bukan nak abaikan, tapi kami mahu rehat dahulu buat sementara waktu. Apapun, biarlah ikut saluran betul, tapi bukan menerusi mahkamah.
Kami tak tunggu apapun dan tak kisah. Nak cakap, cakaplah. Isu ini sudah tular dan semua orang tahu. Cuma, saya rasa tak nak sentuh sebab nanti melarat-larat.
Disoal sama ada Search akan membalas kenyataan yang dikeluarkan oleh Din ataupun tidak, Amy secara ringkas menjawab enggan mengulasnya.
Kalau pasal isu itu saya tak nak jawab.
Terdahulu, kontroversi mengenai isu royalti album timbul selepas Amy meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pemain gitar adik-beradik, Din dan Kid yang mengeluarkan album Rockology Search: Kid’Din Collection tanpa pengetahuan kumpulan tersebut.
Bukan hanya kecewa dengan tindakan Din dan Kid yang didakwa membuat keputusan dengan membelakangkan mereka, malah turut mempersoalkan royalti album yang sepatutnya menjadi hak bersama.