Selepas hampir sebulan terpisah dari anak perempuannya, Nur Izzara, penyanyi terkenal Datin Alyah kini tidak sabar untuk pulang ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.
Alyah, atau nama lengkapnya Noor Hasliah Abu Hasan, 43, yang berangkat ke Tanah Suci sejak 12 Jun lalu, mengakui menghadapi kesukaran untuk membuat panggilan video sepanjang berada di sana.
“Saya memang rindukan dia, tetapi di sini saya agak sukar untuk membuat panggilan video,” ujar Alyah.
“Jadi, saya terpaksa menggunakan kaedah lain untuk berkomunikasi dengan dia iaitu melalui CCTV (televisyen litar tertutup) rumah sahaja.”
Walaupun menghadapi kekangan untuk menghubungi keluarga, Alyah bersyukur suaminya, Datuk Ramli MS, kerap berkongsi video aktiviti Nur Izzara.
“Bila tidak dapat berhubung, Tok Ram (Ramli MS) selalu menghantar video Zara bersama dengan dia. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat juga mengubat kerinduan dengan mereka lebih-lebih hampir sebulan berjauhan,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu “Kisah Hati” itu juga berkongsi bahawa dia mengalami masalah kesihatan ketika berada di Tanah Suci.
“Keadaan kesihatan saya ada sedikit terganggu selepas pulang dari Mina apabila saya mula demam dan batuk. Keadaan suhu di sini agak panas sehingga mencecah 53 darjah Celsius. Tetapi, alhamdulillah saya masih mampu bertahan,” jelas Alyah.
Namun begitu, Alyah meluahkan rasa sedih melihat kematian yang berlaku setiap waktu solat di masjid, melibatkan golongan warga emas.
“Difahamkan akibat cuaca panas ini ramai yang mengalami masalah kesihatan dan ada juga yang meragut nyawa,” katanya dengan penuh rasa simpati.
Selain Alyah, beberapa selebriti lain seperti Ella, Datuk Amy Search, Elfira Loy, Johan, dan Ozlynn turut berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.