Isteri kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali iaitu Fitria Elfina Maharip memberitahu sudah sebulan lebih dia tidak boleh berkomunikasi dengan anak-anaknya.
Tak tahu anak ada di mana
Memetik laporan Harian Metro, Fitria berkata, dia amat merindui dua anaknya, Shania Safina dan Shanika Salsabila masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun selepas didakwa dibawa Safee sejak 6 Februari lalu.
Saya pun tak tahu anak saya ada di mana sekarang ini.
Ujar Fitria, dia hanya mengetahui keadaan anaknya menerusi satu surat yang ditinggalkan dalam kereta suaminya pada 28 Februari lalu.
Dia (Safee) ada datang beberapa minggu lalu ambil barang anak-anak, tetapi dia keluar ikut pintu belakang dan naik kenderaan e-hailing. Keretanya ditinggalkan di rumah saya, jadi saya ambil kunci pendua dan nampak surat yang menyatakan anak-anak rindukan saya.
Dalam surat itu juga menyatakan, anak-anak di sana tak selesa kerana ada orang yang marah.
Berbicara lebih lanjut, Fitria memberitahu dia nekad memfailkan tuntutan hak penjagaan anak selepas terputus hubungan dengan mereka berdua sejak sebulan lalu.
Saya nak berjuang untuk anak-anak saya sebab 100 peratus memang saya jaga anak. Saya tak pernah berpisah dengan anak-anak, ini kali pertama kami berpisah.
Menurut peguam Fitria iaitu Amir Syazwan, proses sulk yang berlangsung hari ini, tidak berjaya apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.
Hari ini (berlangsung) proses sulk untuk kes hadanah hak penjagaan anak, malangnya sulk tidak berjaya.
Kita akan terus ke sebutan semula kes tuntutan hak penjagaan anak yang akan berlangsung 9 Mei ini.
Tambah Amir, sebutan untuk pengesahan lafaz cerai pasangan itu dijangka berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, jam 9 pagi esok.