Pengasas Pondok Model Nusantara Al Isyraq (PMNI), Syeikh Rohimuddin menekankan tidak menggalakkan anak didiknya untuk bergelar pendakwah selebriti.
Bukan kejar populariti
Menurut Syeikh, PMNI yang terletak di Kuala Selangor itu bertanggungjawab melahirkan pendakwah yang mempunyai fokus sepenuhnya kepada agama, bangsa dan negara, bukannya mengejar populariti.
Pada pendapat saya, mahu bergelar pendakwah atau pendakwah selebriti, bergantunglah kepada niat masing-masing. Di PMNI, kami tidak akan mendidik para pelajar madrasah ini ke arah menjadi pendakwah selebriti. Galakan atau seruan ke arah itu, tidak pernah ada dalam perancangan kami.
Biarlah pendakwah yang dilahirkan dari PMNI ini memberi fokus untuk berkidmat kepada agama, umat, bangsa dan negara, di mana peranan itu lebih berguna dan bermanfaat.
Syeikh berkata demikian apabila diajukan media soalan tentang situasi segelintir pendakwah selebriti yang terpalit dengan kisah kontroversi.
Bagi Syeikh menjadi pendakwah selebriti adalah perkara yang patut dihindari oleh para pelajar PMNI kerana ia boleh mengundang kepada tanggapan negatif kepada agamawan apabila terpalit dengan pelbagai isu kontroversi yang menjadi bualan rakyat dan netizen.
Bagi saya, jadi pendakwah yang dalam masa yang sama menjadi selebriti popular itu adalah perkara pertama yang patut dihindari bagi para pelajar madrasah ini.
Saya nak sebut kata-kata ini, ‘tanamlah benih pokok itu dalam-dalam (jangan suka diangkat-angkat), dia akan menumbuhkan pokok yang tinggi, rendang dan buahnya lebat.
Memang kita tanam dalam-dalam kerana kita mahu matikan keinginan untuk menjadi popular. Ini bererti, kita ajarkan mereka menyiapkan diri, jiwa, ilmu yang mendalam, akhlak yang kuat. Perihal itulah maksud benih yang menghasilkan pokok yang tinggi, rendang dan mempunyai buah yang lebat.
Populariti itu sesuatu yang kurang berfaedah bagi kami dalam konteks pengabdian kepada agama, negara, malah lebih daripada itu.
Segelintir (bukan semua) pendakwah selebriti itu hanya pandai bercakap tetapi tak ada ilmu, tak ada akhlak.
Dana RM 15 juta diperlukan
Demi keselesaan dan keberkesanan dalam pendidikan, PMNI sedang dalam usaha untuk membina bangunan baharu yang dianggarkan bernilai RM 15 juta.
Bangunan baharu PMNI ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang mengambil kira kemodenan dan kesesuaian seperti kelas, kompleks surau, asrama, rumah tenaga pengajar, gelanggang futsal, dewan makan, kedai, teknologi baharu dan kelengkapan yang berkaitan.
Kami di PMNI mempunyai tujuan untuk melahirkan generasi yang dapat hidup di zaman ini (serba moden dan rencam) dengan penuh keseimbangan dari segi zahir, batin dan akal. Inilah yang kebisaaannya dimahukan oleh para ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sini.
Sebenarnya pengajian ini mampu diterapkan dalam jiwa para pelajar di mana walaupun sepatutnya tempoh pembelajaran adalah 15 tahun tetapi dapat dipendekkan menjadi lima tahun dengan kaedah pembelajaran yang terkini dibantu dengan segala teknologi-teknologi yang serba canggih.
Dalam pada itu, PMNI sudah melaksanakan sejak dari 2020-2024 sebagai projek perintis, dan kumpulan tersebut mendapat pujian yang tinggi dari pelbagai ulama’ dengan pelbagai latar belakang dan kini pelajar sekarang sudah berada di Mesir menyambung pengajian peringkat tinggi.
Apa yang kami titikberatkan adalah keseimbangan zahir, batin dan akal serta hatinya. Selain mengejar cita-cita di dunia, dalam masa yang sama mereka menyedari kehidupan ini akan berakhir. Tiada yang kekal melainkan Allah.
Demi melahirkan para pelajar yang berkualiti, sudah tentu PMNI memerlukan tempat belajar dan penginapan yang lebih selesa. Ia juga amat dituntut dalam Islam.
Mudah-mudahan, bangunan baharu nanti membolehkan kami menambah bilangan pelajar dalam masa yang sama mengutamakan kualiti dalam diri mereka.
Kami tidaklah mahu membinanya secara tergesa-gesa kerana kosnya bukanlah sedikit. Semoga dengan tajaan atau sumbangan pihak luar sana, sedikit sebanyak boleh membantu mendirikan bangunan baharu PMNI dalam jangkaan masa lima tahun.
Pembinaan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan bergantung kepada tahap kewangan semasa. Kami tidak mampu untuk memajukan madrasah tanpa sokongan daripada anda semua.
PMNI turut mengalu-alukan sumbangan daripada sesiapa sahaja untuk berinfaq kepada para pelajar PMNI menerusi akaun bank MAYBANK: 5541 1052 1332 (Pertubuhan Kebajikan Al Isyraq Nusantara).