Kumpulan KRU, yang terkenal dengan pengaruh besar dalam industri muzik Malaysia, baru-baru ini melancarkan album terbaru mereka, Kaset, bersama dengan single pertama dan video muziknya, Voodoo.
Mingambau Nostalgia
Lagu ini mengimbau nostalgia zaman kegemilangan mereka, mengekalkan genre Pop Dance, Hip Hop, dan R&B yang menjadi identiti muzik asal KRU.
Voodoo, yang dicipta oleh Norman, Yusry, dan Edry, menonjolkan kematangan vokal dan penciptaan lagu mereka, serta kecanggihan dalam penerbitan muzik.
Lagu ini mengisahkan perasaan seorang lelaki yang terperangkap dalam tarikan mempersona seorang wanita yang luar biasa, mencipta suasana kekeliruan dan keterujaan.
Video muzik Voodoo pula mengisahkan “prequel” fiksyen tentang perjalanan awal KRU pada era 90an, sebelum pelancaran album pertama mereka pada 1992.
Artis Tempatan Pertama Menggunakan AI
Lebih menarik, KRU menjadi artis tempatan pertama yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik, memperlihatkan inovasi dan kreativiti mereka sebagai trendsetter dalam industri hiburan Malaysia.
Menurut KRU, lagu Voodoo bukan sahaja istimewa kerana menjadi karya baru selepas enam tahun, tetapi juga membuka lembaran baru dalam penerbitan video muzik dengan penggunaan teknologi AI.
Mereka berharap lagu ini akan mendapat sambutan di kalangan peminat muzik masa kini dan menjadi daya tarik untuk peminat menghadiri konsert Kaset pada masa hadapan.
Voodoo kini boleh didengari di platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, dan Spotify, manakala video muziknya akan ditayangkan di YouTube saluran KRU Bros.
Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti KRU di Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube.