Suasana di dewan Zepp, Kuala Lumpur pada malam semalam dipenuhi dengan keajaiban apabila konsert yang ditunggu-tunggu oleh semua, “SAL PRIADI ZUZUZAZA LIVE IN KUALA LUMPUR” membawa peminat melewati perjalanan muzik yang mendalam dan penuh ‘healing’!
Penyanyi dan penulis lagu berbakat asal Malang, Indonesia, Sal Priadi, berjaya menawan emosi ribuan peminatnya dengan persembahan yang luar biasa.
Kehadiran penonton seramai 2,500 orang ternyata menjangkau jangkaan awal dan sokongan yang diterima menjadikan malam konsert itu satu kenangan yang tidak terlupakan.
Konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh artis tempatan iaitu Sissy Imann, yang membawakan lagu ‘Pesanan Ayahanda’.
Kemudian, bintang yang ditunggu-tunggu, Sal Priadi muncul dengan tepukan yang gemuruh lantas mendendangkan lagu ‘Semua Lagu Cinta’ yang diikuti dengan ‘Biar Jadi Urusanku’, ‘Dimana Alamatmu Sekarang’, dan ‘Ada Titik-titik Di Ujung Doa’ dari album keduanya, Markers & Such Pens Flashdisks.
Malam konsert bertambah gamat apabila Sal Priadi menyanyikan lagu ‘Mesra-mesraan Kecil-kecilan Dulu’, lagu viral ‘Dari Planet Lain’, ‘Amin Paling Serius’ dan pastinya lagu wajib, ‘Gala Bunga Matahari’ dengan sorakan penuh emosi dan ada di antara penonton yang hadir kelihatan menitiskan air mata, terkesan dengan bait-bait liriknya yang menyentuh perasaan.
Tahniah diucapkan kepada penganjur Kharisma Music kerana telah menjayakan acara ini dan juga JOEPRC INTERNATIONAL kerana menjemput MURAI hadir ke konsert. Kesempatan untuk menyaksikan persembahan hebat ini tentunya memberi inspirasi kepada peminat muzik di seluruh negara. Semoga lebih banyak lagi konsert seperti ini diadakan di masa hadapan, membawa lebih banyak keceriaan dan pengalaman indah kepada semua.