Penerbit Eksekutif Primeworks Studios Sdn. Bhd. Nurhul Huda Khalid menjelaskan mengenai ketiadaan Misha Omar di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 39 (SFMM39) adalah disebabkan penyanyi itu terikat dengan komitmen lain.
Misha ada komitmen
Menurut Nurhul, pihaknya menerima surat daripada syarikat naungan Misha memaklumkan penyanyi itu bakal digantikan dengan Vanessa Raynauld untuk menyampaikan lagu Masihkah Ada Rasa Itu.
Pun begitu, kata Nurhul tidak menjadi masalah kerana perkara itu dipersetujui oleh syarikat label dan komposer lagu tersebut iaitu Misha serta Sharon Paul.
Pihak kami menerima surat daripada syarikat label Misha Omar, memberitahu penyanyi itu sudah terikat dengan komitmen lain. Kami terima makluman itu beberapa hari sebelum SFMM39.
Kalau lagu Misha berjudul Masihkah Ada Rasa Itu berjaya ke final, itu terpulang kepada syarikat label untuk memilih siapakah penyanyi yang akan menyampaikannya.
Tiada masalah pun jika di final AJL penyanyi asal iaitu Misha ingin membuat persembahan. Namun label yang perlu menentukan.
Malah, penyanyi gantian iaitu Vanessa juga dipilih dan ditentukan oleh syarikat label. Ada sesi memujuk dengan pihak Misha, namun kami akur terima keputusan.
Nurhul memaklumkan perkara itu ketika ditemui di saingan malam pertama SFMM39 yang berlangsung di Studio NTV7 Glenmarie Shah Alam, pada Khamis.
Ketiadaan Misha selaku penyanyi asal lagu Masihkah Ada Rasa Itu telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun, Vanessa sekalu penyanyi gantian menyampaikan karya tersebut dengan cemerlang.
Isu penyanyi gantian
Disoal mengenai reputasi program apabila sering berlaku isu penyanyi gantian, Nurhul menjawab pihaknya tidak boleh memaksa penyanyi asal untuk beraksi.
Hal ini kerana, keputusan itu dibuat sepenuhnya oleh pencipta lagu dan syarikat label yang menerbitkan karya tersebut.
Perkara sebegini (tukar penyanyi) sudah berlaku setiap tahun. Segalanya terpulang kepada komposer dan syarikat label. Keputusan itu dibuat oleh mereka.
Pihak kami tidak boleh nak paksa penyanyi asal untuk sampaikan, kerana sejak awal pencalonan lagu dihantar juga tiada sebarang paksaan.
Dalam pada itu, Nurhul menyambut baik cadangan untuk meletakkan syarat bahawa penyanyi asal yang perlu menyanyi lagu dicalonkan.
Meletakkan syarat penyanyi asal sendiri yang perlu menyanyi itu memerlukan perbincangan dengan pihak tertinggi. Saya tidak boleh buat keputusan saya sendiri. Namun cadangan itu boleh diutarakan.
Perlu ingat semula, tujuan asal AJL diadakan adalah untuk mengangkat penciptaan lagu oleh komposer dan penulis lirik. Siapa pun penyanyi yang ingin dihantar, terpulang kepada label dan komposer.
Masalah teknikal
Sementara itu, diminta mengulas mengenai masalah teknikal yang berlaku ketika sesi siaran langsung, Nurhul menjawab perkara itu diluar kawalan.
Ini (SFMM39) kan siaran langsung, kalau ‘live’ apa perkara pun boleh berlaku. Sewaktu sesi raptai, okay sahaja tiada sebarang masalah. Cuma waktu ‘live’ berlaku.
Sekali yang berlaku adalah di luar kawalan. Ingat lagi dulu, pernah ‘blackout’. Tapi masalah teknikal tidak mengganggu permakahan sama sekali.
Dihoskan oleh Izzue Islam dan Fiza Frizzy, SFMM39 disiarkan secara langsung di TV3 jam 9 malam dan juga distrim secara HD di www.tonton.com.my.
SFMM39 membariskan juri profesional iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, LY Baiduri, Helen Yap, dan Ad Samad yang diketuai Edry Abdul Halim.