Jika status sudah solo, tidak ada salahnya untuk mencari cinta.
Pelakon Shakilla Khoriri terkejut apabila diajukan soalan daripada anaknya, Ameena Sofia yang tidak semena-mena ‘meminta’ seorang ayah berketurunan mat salih.
Kata Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, si kecil yang baharu berusia empat tahun itu mengatakan semua kawan-kawan ibunya sudah berkahwin dan mendapat cahaya mata.
“Semua orang dah sudah kahwin tahun ini, semua dah dapat ‘baby’, Umi sahaja belum, bila Umi mahu berkahwin lagi.”
“Saya nak juga ‘baby’, nak dapat bayi kembar,” ujar Ameena menerusi sebuah video dalam TikTok yang dikongsi Shakilla.
Lebih menarik dan mencuit hati, Ameena turut meminta ibunya itu untuk mencari bakal suami berdarah kacukan orang putih.
“Ameena selalu doa kat sekolah. Hari-hari doa biar Umi kahwin lagi,” jawab anak comelnya itu apabila Shakila memintanya untuk terus berdoa kepada Allah.
Meninjau ruangan komen video tersebut, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak mendengar perbualan mereka, terutama gelagat Ameena yang seolah-olah memahami ibunya perlukan peneman hidup.
Sebelum ini, pelbagai kontroversi menimpa ibu tunggal itu termasuk tuduhan menjalinkan hubungan skandal bersama suami orang dan menjadi perosak rumah tangga orang lain.
Tidak cukup dengan itu, timbul pula isu apabila aktres terbabit meluahkan rasa kurang senang apabila mulut anaknya ditekup kakak tirinya ketika bergambar pada hari pernikahan kedua Fizi Ali.
Fizi dan Shakilla pernah berkahwin pada 18 Februari 2018 namun bercerai pada Disember 2021.