Finalis program Famili Duo musim keempat iaitu Shiha Zikir dan kakaknya Ieda Zikir memberitahu mereka akan melakukan yang terbaik, esok.
Mahu angkat elemen tradisional
Menurut Shiha, mereka akan menyanyikan lagu Mentera Semerah Padi nyanyian Datuk M.Nasir dan Dokter Cinta nyanyian Dewi untuk pentas akhir Famili Duo. Disoal mengapa memilih lagu tersebut, Shiha berkata, dia mahu mengangkat elemen tradisional dan mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang baharu.
Pentas akhir ini Shiha dan kakak nak buat benda yang lain berbanding sebelum ini. Shiha nak angkat elemen tradisional sebab belum pernah buat. Sampai lebam nak cabar diri khas untuk final famili duo.
Lagu ‘Doktor Cinta’ pula ada kekuatan vokal. Lagu perempuan duet tak banyak. Kami nak tunjuk futuristik untuk lagu ini. Kami akan teroka macam-macam benda yang tak pernah buat. Jadi nantikan!
Ujar Shiha lagi, dia berasa kagum melihat usaha kakaknya sepanjang sesi latihan minggu akhir Famili Duo.
Saya akan buat benda yang saya tak pernah buat. Kakak saya pun. Dalam tempoh dua hari dia boleh buat macam-macam seperti saya.
Ditanya mengenai elemen kejutan untuk persembahan, Shiha secara ringkas menjawab akan ada elemen tersebut namun dia terpaksa merahsiakannya.
Diminta untuk mengulas mengenai isu penyingkiran Naqiu dan Joey pada minggu lepas, Shiha mengakui dia turut berasa sedih.
Kami mempunyai pendapat yang sama dengan netizen. Naqiu dan Joey peserta yang kami suka dan hormat. Mereka buat pelbagai kelainan setiap minggu. Jadi, kami sedih mereka tak dapat mara ke final. Apapun, saya percaya kami semua telah melakukan yang terbaik dan penyokong mereka sangat memberi semangat.
Tambah Ieda pula, tahun ini semua peserta sangat bagus sehinggakan dia turut berasa wow.
Setiap minggu dah macam Anugerah Juara Lagu.
Di akhir temu bual, Shiha diminta untuk mengulas mengenai komen Mas Idayu terhadap semua peserta musim keempat. Jelas Shiha, Mas Idayu seorang juri yang jujur dan telus dalam melakukan kerjanya.
Kalau dia bagi kritikan, kami sebagai peserta dah bersedia nak dengar. Sebab itu input untuk kami belajar sesuatu yang baru. Kalau dengar yang best sahaja, lebih baik tak payah bertanding. Shiha sangat kenal mummy, dia seorang yang telus dan garang.