Penyanyi, Shila Amzah meluahkan rasa kesal terhadap sesetengah netizen yang mendakwa hantaran terbaharunya mengenai kaki pukul ditujukan kepada suami, Ubai MZ.
‘Bukan Ubai’
Menerusi hantaran di Instagram Story, Shila atau nama lengkapnya Nurshahila binti Amir Amzah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Ujar pelantun lagu ‘Patah Seribu’, hantaran yang dimuat naiknya sebelum ini adalah sebagai tanda simpati terhadap pelakon Zahnita Wilson yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Kaki pukul itu bukan Ubai ya. Apa punya benak lah tulis fitnah macam itu.
Saya simpati dengan nasib yang menimpa Zahnita.
Siapa yang pernah melaluinya sahaja yang tahu peritnya.
Jadi, sekarang ini nak tegaskan bahawa saya tak berkahwin dengan orang yang kaki pukul.
Doakan mereka yang jadi mangsa
Di akhir hantaran, ibu kepada dua orang anak itu mendoakan kepada wanita yang masih menjadi mangsa keganasan rumah tangga agar diberikan kekuatan dan berani untuk keluar daripada masalah yang dihadapi.
Mari lah kita doakan sesiapa yang belum dapat keluar dari masalah keganasan rumah tangga atau apa-apa hubungan yang sedemikian diberi kekuatan mental dan fizikal untuk cepat-cepat lari dari mangsa.
Untuk kawan-kawan dan keluarga, kalau tiba-tiba kawan atau anak kita hilang, tak berhubung dengan kita, ketahuilah itu merupakan salah satu tandanya.
Jangan tinggalkan mereka bersendirian.
Terdahulu, Shila mengeluarkan pendapat bahawa mana-mana lelaki yang mempunyai sejarah sebagai seorang kaki pukul sukar untuk berubah ke arah kebaikan kerana sudah terbiasa dengan perbuatan buruk tersebut.