Penyanyi terkenal Malaysia, Shila Amzah, telah selamat melahirkan cahaya mata perempuan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada hari ini.
Khabar gembira ini disampaikan oleh suaminya yang juga seorang pempengaruh media sosial, Ubai, melalui media sosial Instagram.
“Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat bersalin. Gugur air mata dan sebak melihat isteri bertarung nyawa demi cahaya mata tercinta. Pengalaman pertama kali melaungkan azan pada cahaya mata kami, sungguh luar biasa”
“Perasaan yang tak dapat saya ungkapkan. Terima kasih ya Allah SWT atas rezeki yang kau berikan pada kami sekeluarga,” tulis Ubai dalam kenyataannya”.
Dia juga berkongsi nama puteri sulung mereka, Rhea Akira. Dalam kenyataannya, Ubai juga menyebutkan bahawa arwah ibunya, Rohani Jamal, yang meninggal dunia akibat kanser ovari pada Julai tahun lalu, pastinya akan gembira dengan kelahiran cucu sulungnya tersebut.
“Cucu pertama arwah mak dah selamat dilahirkan. Mesti arwah mak gembira. Takdir dan perancangan Allah itu sangat hebat. Akan kami jaga sehabis baik amanah dan rezeki yang kau berikan ini. Assalamualaikum puteriku, Rhea Akira,” ujar Ubai.
Shila dan Ubai mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 2023. Sebelum ini, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Edraki pada tahun 2018, namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian.
Dari perkahwinan sebelumnya, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Seth Uwais yang kini berusia 5 tahun.