Baru-baru ini, segelintir netizen meluahkan rasa kurang senang berikutan pengakuan pelawak,Shuib tentang dirinya yang gemar bermain permainan judi suatu ketika dahulu.
Mohon maaf
Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, Shuib mengaku khilaf dan memohon maaf atas ketelanjuran berkongsi kisah silamnya itu kepada umum.
Sebenarnya saya enggan membesarkan hal ini lagi walaupun menerima pelbagai komen positif dan negatif. Namun, kalau dilihat dari sudut hukum agama selepas membuat bacaan dan menonton di YouTube, memang tidak manis membuka aib sendiri walaupun bertujuan untuk memberi pengajaran kepada orang.
Jadi, tindakan yang dilakukan itu adalah satu khilaf daripada pihak saya dan saya akan mengambil pengajaran serta lebih berhati- hati ketika bercerita mengenai perkara silam.
Saya juga sedar kadang-kadang niat tidak menghalalkan cara. Jadi, saya ambil maklum sebab ada cara sebenarnya kalau nak bercerita mengenai benda yang tak baik untuk dijadikan pengajaran mengikut Islam.
Tambah Shuib, dia berharap orang ramai dapat menonton Dol’s Podcast yang dikendalikannya bersama Shuk Sahar dan Fizie sebelum menghukum dirinya.
Kalau tonton podcast ini dari awal hingga akhir di YouTube, ramai yang akan mendapat pengajaran sebab ia daripada kisah benar bukan cerita rekaan.
Kisah ini pula dilakukan oleh orang yang dikenali sekali gus lebih dekat untuk orang terima. Kalau ikutkan ramai penonton yang meninggalkan komen positif termasuk berkongsi pengalaman mereka yang serik dengan aktiviti tidak berfaedah dan mendatangkan dosa ini.
Cuma apabila sebahagian video ini tular di media sosial dan terdapat portal berita yang meletakkan tajuk yang tergantung, jadi mula lah orang bercakap fasal saya buka aib sendiri sedangkan Allah dah tutup aib saya.
Tapi kalau lah mereka boleh pergi ke YouTube dan menonton podcast itu dari awal sebenarnya kami sudah meletakkan ‘peringatan’ supaya tidak terikut dengan gejala ini dan perkongsian ini bertujuan memberi pengajaran.
Terdahulu, Shuib membuat pendedahan menerusi sesi podcast Dol’s Podcast bahawa dia pernah terlibat dalam aktiviti perjudian sehingga mengalami ketagihan.
Pada masa yang sama, dia turut berkongsi mengenai peristiwa dikepung dengan beberapa orang gangster selepas memenangi wang taruhan sebanyak RM68,000. Sejak kejadian itu, Shuib akui bertekad meninggalkan tabiat bermain judi.