Sebelum ini, isteri kepada pelawak Shuk Sahar iaitu Fara Salleh ada memuat naik foto memaparkan dua buah pasport yang tertera nama Fara dan Shuk beserta kapsyen ‘healing’.
‘Healing’ di Makkah
Terbaharu, Fara berkongsi foto memperlihatkan dia dan suami di hadapan Masjid Nabawi, Arab Saudi.
Perkongsian tersebut menjelaskan pasangan itu pergi menunaikan Umrah lantas menjawab teka-teki destinasi ‘healing’ yang dimaksudkan Fara sebelum ini.
Malah, foto tersebut sekali gus membawa maksud rumah tangga mereka masih dalam keadaan baik.
Menerusi ruang kapsyen, Fara meluahkan rasa syukur dijemput Allah menjadi salah seorang tetamu-Nya.
Alhamdulillah, diizinkan Allah.
Dalam foto itu, Fara dilihat mengenakan jubah dan tudung labuh berwarna hitam, manakala Shuk memakai baju kurta berona sama.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wargamaya dan peminat mendoakan pasangan itu memperoleh Umrah yang mabrur.
Selain itu, wargamaya juga berharap ibadah Umrah yang dilakukan bersama menjadi titik permulaan baharu buat rumah tangga mereka agar terus bahagia.
Terdahulu, Fara menerusi hantaran di platform X memberitahu dia menyesal mengahwini Shuk dan minta diceraikan.
Malah, Fara mendakwa Shuk tidak berubah dan masih dengan sikapnya seorang ‘kaki perempuan’
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua pihak tidak berhasil apabila kiriman mesej tidak dibalas dan panggilan telefon tidak dijawab.
Sehingga kini, Shuk dan Fara masih mengunci mulut serta tidak memberikan kenyataan berhubung isu tersebut.