Pelakon Shukri Yahaya mengakui isterinya iaitu Tya Adnan banyak memberi aura positif kepadanya selepas mengenakan niqab sejak Februari lalu.
Rajin mengaji
Menurut Shukri atau nama lengakp Mohd Shukri Yahaya, 36, mereka juga semakin kerap mengaji di rumah.
Suasana dalam rumah tangga sama sahaja walau selepas isteri saya berniqab. Cuma amalan yang kami lakukan bertambah.
Kami berdua semakin banyak mengaji, dia memberi satu aura atau semangat yang sangat positif kepada saya.
Syukri berkata demikian ketika ditemui di sidang media tiga buah drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengakui gembira melihat perubahan yang dilakukan, Syukri menambah, dia sentiasa mendoakan isterinya terus istiqamah.
Kalau tanya perasaan, suami mana yang tak gembira melihat perubahan isteri dah memilih untuk berniqab yang merupakan pakaian sunah. Saya tidak halang tindakan dia.
Nasihat saya kepada dia, jangan mengalah kerana apa yang dia buat ini sudah betul.
Terdahulu, penampilan Tya yang mengenakan niqab mencuri perhatian ramai selepas dia pulang mengerjakan Umrah pada Februari lalu.